Tuesday, March 12, 2019

Tangani segera isu tikus di kargo LTAK - Dr Jerip

Dr Jerip (dua kiri) ketika meninjau persekitaran kargo udara LTAK sempena lawatan kerjanya hari ini.- Gambar Chimon Upon.

KUCHING: Isu populasi tikus yang meningkat di MASkargo dan pos Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) mesti ditangani dengan kadar segera dan berkesan.
Menteri Muda Pengangkutan Datuk Dr Jerip Susil berkata isu itu tidak boleh dipandang ringan kerana kehadiran populasi tikus yang tidak terkawal di lapangan terbang mengundang bahaya.
"Agensi-agensi bertanggungjawab mesti mengambil tindakan yang lebih serius menangani masalah ini.
"Kehadiran tikus yang banyak di lapangan terbang adalah suatu yang luar biasa. Perkara ini amat membimbangkan saya kerana ia bukan sahaja melibatkan  aspek kesihatan tetapi keselamatan," ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke kargo udara LTAK, hari ini.
Dr Jerip berkata Jabatan Kesihatan Negeri dan Malaysia Airport Sdn Bhd mesti mengambil langkah pemantauan dan pembasmian haiwan perosak itu secara konsisten dengan mendapatkan maklum balas daripada JKDM dan MASkargo.
"Jika tidak tikus-tikus ini tidak hanya menggigit kabel tetapi boleh menyundang penyakit kencing tikus kepada petugas di pejabat JKDM dan MASkargo.
"Lebih dahsyat lagi jika ini menyusup masuk ke dalam pesawat ketika pemunggahan barang dilakukan. Haiwan ini boleh melakukan apa sahaja perkara yang kita tidak pernah duga," ujarnya.
Sehubungan itu, beliau mahu semua agensi memandang serius isu berkenaan dan pemasangan perangkap tikus yang lebih berkesan tidak hanya di zon terpilih tetapi di sekitar LTAK.
Isu berkenaan dibangkitkan oleh Penolong Kanan Pengarah Kastam Sargandang Liman semasa sesi dialog bersama Dr Jerip serta pihak berkepentingan sempena lawatan itu.
Menurutnya isu berkenaan sudah berlarutan sejak lima tahun lalu dan mahu tindakan lebih serius diambil bagi menanganinya segera.
"Seperti MASkargo kita (kastam) berdepan masalah tikus yang kritikal. Sangat berbahaya sehingga ada seorang pegawai kita dijangkiti penyakit kencing tikus tiga tahun lalu.
"Kita bersama MASkargo telah mengambil langkah pencegahan termasuk membeli racun dan gam untuk membunuh haiwan ini tetapi tidak berkesan.
"Ketika itu kita berjaya membunuh hampir 50 ekor tikus tetapi haiwan ini 'membalas dendam' dengan menggigit kabel-kabel di dalam pejabat. Kita bimbang perkara lebih serius boleh berlaku kalau tiada langkah efektif diambil," ujar Sargandang.

Sumber:Utusan Borneo
 


No comments:

Post a Comment