Thursday, March 21, 2019

Jangan sampai lambatkan projek Lebuhraya Pan Borneo

Abang Johari (kiri) tiba bagi Majlis Menandatangani Perjanjian Kontrak Antara Serba Dinamik dan PETRONAS di Kuching hari ini. Gambar Chimon Upon
KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berharap langkah Kerajaan Persekutuan  untuk menghapuskan peranan rakan pelaksana (PDP) projek kepada model kontraktor turnkey  tidak akan melambatkan projek Lebuhraya Pan Borneo. 
Menurut Abang Johari, ia adalah terpulang kepada Kerajaan Persekutuan untuk menukar model PDP kepada turnkey atau terima jadi.
“Apa yang berlaku ialah Kerajaan Persekutuan mahu menstuktur semula susunan model PDP yang digunakan pada masa ini. 
“Terpulang kepada Kerajaan Persekutuan, tetapi apa yang kita ambil berat ialah, ia tidak akan melewatkan projek,” katanya ketika ditemui di salah sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Terdahulu Abang Johari hadir pada Majlis Menandatangani Perjanjian Kontrak antara Serba Dinamik Sdn Bhd dan PETRONAS Carigali Sdn Bhd. 
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir hari ini berkata keputusan sama ada Putrajaya menolak peranan PDP dan bertukar kepada model turnkey  bagi projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo bernilai RM29 bilion akan diketahui pada akhir Mac ini. 
Sehingga keputusan itu dimaklumkan dan diputuskan secara tuntas, apapun spekulasi dibuat menurut Mohd Anuar ia tetap spekulasi. 
Akhbar The Edge sebelum ini memetik sumber melaporkan Kementerian Kerja Raya akan mengambil alih projek Lebuhraya Pan  Borneo dan kontraktor turnkey akan dilantik untuk menggantikan model PDP bagi kerja-kerja pembinaan yang belum siap. 
Laporan itu berkata keputusan itu dibuat kerana limpahan kos bawah struktur PDP sedia ada, dan kerana ia selaras dengan matlamat kerajaan untuk menghentikan pengurniaan projek menerusi model PDP yang kurang efisien dari segi kos. 
Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo sepanjang 2,325 kilometer dijangka siap pada 2023 di Sarawak dan 2025 di Sabah. 

Sumber: https://www.utusanborneo.com.my/2019/03/21/jangan-sampai-lambatkan-projek-lebuhraya-pan-borneo

No comments:

Post a Comment