Serangan di dua masjid di New Zealand semalam membuktikan aktiviti keganasan tidak terhad kepada mana-mana agama.
Pakar rujuk kes keganasan di Kementerian Dalam Negeri (KDN), Prof Madya Dr Mohd Hizam Hanafiah, berkata insiden yang berlaku Christchurch itu membabitkan individu pengganas yang tidak berada di bawah pemerhatian polis.
"Dalam mana-mana agama ada pengikutnya yang menjadi pengganas, dan kegiatan itu merentasi sempadan agama, bahkan insiden di Christchurch itu menunjukkan bahayanya pengganas berkulit putih.
"Kita kena gaham, apabila ada insiden membabitkan pengganas yang dikaitkan dengan Islam, Barat akan memaparkannya berulang kali bagi menimbulkan Islamofobia, sedangkan ia agak kecil jika dibandingkan apa dilakukan pengganas bukan Islam," katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Menurut Mohd Hizam lagi jika ada kejadian membabitkan orang Islam di Eropah, sesetengahnya melibatan pelarian dari negara lain, seperti Libya.
Katanya pihak yang terbabit juga menjadi pelarian kesan daripada tindakan Barat ke atas negara mereka.
Semalam dunia dikejutkan dengan tragedi serangan pengganas di Masjid Al-Noor sebelum dia memandu sejauh kira-kira 5km dari situ untuk melakukan serangan di masjid kedua.
Tiru strategi Daesh
Serangan pertama berlaku pada jam 1.40 petang (8.40 pagi waktu Malaysia). Seramai 49 orang sudah disahkan meninggal dunia manakala 48 lagi cedera.
Seorang suspek di dakwa di mahkamah hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern, berkata empat suspek ditahan, termasuk seorang lelaki warga Australia.
"Jelas ia serangan pengganas dan telah dirancang dengan amat teliti.
"Dua bom yang dipasang pada kereta berjaya dimatikan pihak polis. Tahap keselamatan di New Zealand dinaikkan ke tahap tertinggi," katanya pada sidang akhbar di Wellington.
Serangan itu juga turut mengakibatkan tiga rakyat Malaysia tecedera.
Sementara itu, Mohd Hizam berkata Islam adalah agama kasih sayang dan menekankan keharmonian. Justeru katanya Islam sama sekali tidak menyokong keganasan.
Mengulas mengenai fahaman ketuanan kulit putih Mohd Hizam berkata di AS kumpulan terbabit mempunyai sikap membenci terhadap Yahudi, Islam dan imigran, khususnya dari Asia dan Amerika Latin.
"Di Jerman, slogan anti-Muslim, antipendatang dilaungkan. Di UK, slogan anti-Asia, anti-Muslim dan antiimigran turut dilaungkan.
"Kumpulan ketuanan kulit putih itu meniru strategi Daesh dengan menggunakan media sosial untuk merekrut dan meradikalkan aggota mereka di seluruh dunia," katanya.
No comments:
Post a Comment