Wednesday, March 27, 2019

Kerja naik taraf Pasar Sentral Sibu bermula


SIBU: Kerja menaik taraf dan menambah baik kemudahan di Pasar Sentral Sibu yang menelan kos RM3 juta telah dimulakan.
Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Datuk Tiong Thai King berkata, kerja menambah baik kemudahan turut merangkumi bahagian Pasar Tamu.
“Lawatan rasmi pertama Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ke Pasar Setral Sibu tahun lepas telah meluluskan peruntukan sebanyak RM3 juta.
“Ini untuk menaik taraf kemudahan di Pasar Sentral seperti menggantikan paip untuk bekalan air terawat, menggantikan longkang hujan serta membina siling tergantung di tingkat satu ruang kedai makanan dan minuman serta ruang jualan barang dagangan makanan.
“Selain itu, mengecat semula keseluruhan premis di Pasar Sentral Sibu.
“Kerja pengubahsuaian di Pasar Sentral Sibu telah dimulakan manakala para penjaja dan peniaga dipindahkan ke pasar terbuka di bahagian Pasar Tamu pada bulan Mac hingga November,” jelasnya ketika mempengerusikan mesyuarat bulanan MPS di sini, semalam.
Tiong berkata, bahagian gerai menjual daging babi telah dipindah keluar pada 20 Mac lepas dan dijangka dipindah masuk pada 31 Julai, bahagian tingkat bawah Pasar Sentral Sibu fasa pertama dipindahkan pada 20 Mac dan dipindah masuk pada 20 Mei.
Fasa kedua pindah keluar pada 13 Mei dan pindah masuk pada 23 Julai, fasa ketiga pindah keluar pada 15 Julai dan pindah masuk pada 23 September dan fasa keempat pindah keluar pada 17 September dan pindah masuk pada 25 November.
Manakala bahagian kedai makanan dan minuman di tingkat satu Pasar Sentral Sibu untuk fasa pertama akan dipindah keluar pada 11 Mac dan pindah masuk pada 20 Mei dan fasa kedua pindah keluar pada 13 Mei dan pindah masuk 23 Julai.
Fasa ketiga pula pindah keluar pada 15 Julai dan pindah masuk pada 23 September serta fasa keempat akan pindah keluar pada 17 September dan pindah masuk pada 25 November.
“Saya mohon kerjasama para penjaja dan peniaga serta orang awam bagi memastikan kerja menaik taraf dan menambah baik Pasar Sentral Sibu dapat berjalan lancar,” ujarnya.
Pasar Sentral Sibu merupakan pasar terbesar di Sarawak yang menempatkan 1,572 penjaja dan peniaga dalam kawasan Pasar Sentral dan Pasar Tamu.

Sumber: https://www.utusanborneo.com.my/2019/03/28/kerja-naik-taraf-pasar-sentral-sibu-bermula


No comments:

Post a Comment