Thursday, March 21, 2019

Pemain handalan sertai Sirkit Skuasy CMS



PASTI HEBAT: Emmanuel (dua kanan) dan Joseph memperaga baju rasmi kejohanan sambil disaksikan (dari kiri) Talis, Margaret dan Luqman.


KUCHING: Pemenang pingat emas Sukan SEA 2017, Sanjay Singh Chal dan pemain remaja nombor satu kebangsaan, Harith Danial Jefri antara 140 peserta yang akan menyertai Sirkit Skuasy CMS Pusingan Samarahan 2019 dijadual berlangsung dari 23 hingga 25 Mac ini di Pusat Skuasy Sarawak, Petra Jaya.
Kedua-dua bintang skuasy kelahiran bandar minyak, Miri itu akan berentap dalam acara perseorangan, beregu dan berpasukan.
“Kita berasa bertuah kerana Sanjay juga menyatakan akan turut serta dalam pertandingan kali ini. 
“Sanjay, 24, adalah pemegang ranking kelima negara yang juga pemenang pingat emas Sukan SEA 2017 dan pemenang perak pada Kejohanan Skuasy Universiti Dunia 2018.
“Selain Sanjay, bintang remaja Harith, 13, juga akan berentap di mana beliau akan bergandingan dengan abangnya Harith Irfan Jefri dalam acara beregu,” menurut pengerusi penganjur, Emmanuel David pada sidang media di sini semalam.
Katanya, pada edisi kali ini Persatuan Raket Skuasy Sarawak (SRAS) telah memberi penghormatan kepada Persatuan Skuasy Bahagian Samarahan (PSBS) selaku tuan rumah.
Manakala, pusingan kedua akan diadakan di Miri pada Ogos depan.
“Kejohanan ini diadakan bagi mempromosi sukan skuasy dan mendedahkan kepada masyarakat fasiliti yang kita ada di Kuching.
“Seramai 140 pemain dari Kuching, Samarahan, Sibu, Miri termasuk 11 dari Sabah dan tiga dari Bahrain akan mengambil bahagian pada edisi kali ini.
“Ini merupakan kejohanan tertutup, namun kita turut menjemput pemain dari Sabah dan Bahrain dan mereka bersetuju untuk menghantar penyertaan,” katanya.
Menurut Emmanuel, edisi kali ini mempertandingkan beberapa kategori, antaranya remaja lelaki dan perempuan bawah 9, 11, 13, 15, 17 tahun, Terbuka Lelaki (30 Tahun ke atas), Lelaki Premier dan Lelaki Beregu.
Beliau juga merakamkan penghargaan ke atas Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, ADUN Muara Tuang Datuk Idris Buang, Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS), Perbadanan Sukan Sarawak (PSS), Jabatan Kerja Raya (JKR), Kolej Komuniti, Cahya Mata Sarawak (CMS) dan penaja-penaja lain atas sokongan terhadap penganjuran kejohanan kali ini.
Hadir sama Presiden PSBS Joseph Ting, Setiausaha SRAS Margaret Kechendai, Setiausaha PSBS Talis Dudom dan Jawatankuasa Penganjur Luqman Abdullah.


Sumber:https://www.utusanborneo.com.my/2019/03/21/pemain-handalan-sertai-sirkit-skuasy-cms

No comments:

Post a Comment