Abdullah Saidol
KUCHING: Menteri Muda Hal Ehwal Korporat Abdullah Saidol menghargai keputusan Kerajaan Pusat berkaitan cadang meminda Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan bagi mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi dengan Semenanjung.
Namun, beliau yang tidak begitu teruja tentang pengumuman itu berkata, pindaan yang dicadangkan tersebut untuk mengembalikan semula status Sarawak kepada asal seperti mana sebelum ia dipinda dahulu pada 1976.
"Saya berharap cadangan yang diperkatakan itu tidak bersyarat.
"Pindaan yang dicadangkan itu akan secara teknikalnya mengesahkan 'Locus Standi' Sarawak sebagai salah satu entiti atau parti dalam pembentukan Malaysia.
"Saya menjangkakan bahawa pindaan yang dicadangkan ini akan memperoleh majoriti dua per tiga yang diperlukan," katanya ketika diminta mengulas perkara ini.
Tegas Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, walaupun beliau menghargai usaha itu tetapi tidak teruja kerana percaya rakyat Sarawak secara keseluruhannya mengharapkan lebih daripada sekadar pindaan tersebut.
Jelasnya, rakyat Sarawak terutamanya di luar bandar amat mengharapkan lebih banyak pembangunan infrastruktur di kawasan mereka.
Menurutnya, peruntukan untuk pembangunan kian meningkat dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg amat prihatin tentang keperluan tersebut.
Sebab itu, katanya Ketua Menteri tanpa berbelah bahagi memutuskan untuk menggunakan dana negeri dan membentangkan belanjawan terbesar Sarawak sebanyak RM11 bilion pada tahun lepas untuk tujuan berkenaan.
Namun, katanya kerajaan pusat Pakatan Harapan (PH) terutamanya Perdana Menteri dan Menteri Kewangan terus 'merungut' mengenai hutang palsu negara yang besar atau mungkin hanya alasan lemah mereka kerana tidak dapat memenuhi janji-janji pilihan raya.
"Sikap kerajaan PH tidak dapat dielakkan menyebabkan rakyat Sarawak benar-benar ragu tentang kepercayaan dan kesungguhan PH untuk mengembalikan semula status Sarawak sebagai rakan kongsi yang sama.
"Kita amat memerlukan lebih banyak dana untuk terus memajukan negeri, oleh itu Kerajaan Sarawak perlu meningkatkan pendapatannya, antara lain dengan memperkenalkan 5 peratus Cukai ke atas produk Petroleum," jelasnya lagi.
Menurutnya lagi, dalam tempoh 10 bulan selepas PH memegang tampuk pentadbiran negara, rakyat Sarawak telah banyak menyaksikan dan belajar tentang ketidakupayaan PH untuk mentadbir negara ini.
Malah, beliau memberitahu, anggota kabinet PH kerap membuktikan kebencian mereka, ketidakcekapan, dasar-dasar lucu dan banyak keputusan tidak menentu atau 'flip-flop'.
"Ujian sebenar adalah untuk melihat sama ada kerajaan PH mempunyai keberanian dan keikhlasan yang tulus untuk memenuhi permintaan Sarawak tentang hak dan kepentingan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan atau seperti mana dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
"Sudah terhantuk baru tergadah. Sehingga itu, kerajaan PH perlu bekerja keras untuk menarik perhatian rakyat Sarawak.
"Tolong jangan kata kami terlalu menuntut atau mementingkan diri sendiri, kami telah bersabar dan bertolak ansur dengan cukup lama, apa yang hak kita (Sarawak) adalah milik kita," ujarnya.
Sumber: Utusan Borneo
No comments:
Post a Comment