Thursday, March 21, 2019

Samun wanita warga China, dua suspek diberkas


Dua suspek yang disyaki terbabit dalam rompakan berkumpulan terhadap wanita warga China pagi Selasa lalu.

SIBU: Dua suspek yang dikehendaki polis kerana disyaki terlibat dalam kes samun seorang wanita warga China berjaya dicekup di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonatahan Ringgit berkata, suspek berumur 31 dan 23 tahun terbabit merupakan warga tempatan ditahan di Jalan Tukang Besi pada jam 8.15 malam Rabu.
"Bertindak daripada risikan, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah yang diketuai Insp. Baharudin Sabang telah menahan kedua-dua suspek yang disyaki terlibat melakukan samun terhadap wanita warga China pada 19 Mac lalu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, polis juga merampas satu rangkai anak kunci kereta dan dua buah telefon bimbit. 
Stanley berkata, siasatan awal polis mendapati kedua-dua suspek mengaku melakukan rompakan berkumpulan di tingkat satu sebuah bangunan di Jalan Tuanku Osman pagi Selasa lalu.
Dalam kejadian itu katanya, wanita warga China berusia, 43, yang merupakan seorang rakan kongsi sebuah pusat Spa disamun oleh dua lelaki ketika berada di bilik sewanya pada jam 10.10 pagi itu.
"Mangsa yang terdengar ketukan pintu kemudian bertanya siapa di luar dan bertindak membuka pintu selepas orang itu menjawab 'Bos'.
"Tanpa mengesyaki apa-apa, dua lelaki tidak dikenali terus meluru masuk dan salah seorang daripada mereka menolak pengadu ke lantai.
"Satu pergelutan berlaku antara mangsa dengan seorang suspek namun mangsa sempat melihat seorang suspek berbadan gempal, berkulit cerah dan berambut pendek," katanya.
Beg tangan mangsa yang mengandungi sejumlah  mata wang asing, barangan kemas, pasport, kad ATM dan telefon bimbit juga dilarikan suspek.
Mangsa telah mengalami kecederaan di bahagian pipi kanan selepas ditumbuk salah seorang suspek, tambah Stanley.
"Bagaimanapun, pengadu yang cedera di bahagian pipi akibat ditumbuk sempat mengejar dua suspek terbabit sehingga ke tingkat  bawah dan mendapati mereka menggunakan sebuah kenderaan  dan nombor pendaftaran telah dikenal pasti.
"Kedua-dua suspek telah dimasukkan ke lokap Balai Polis Sentral akan direman dan ujian saringan air kencing akan dijalankan terhadap mereka.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 395 /394 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan," tambah beliau.

Sumber: https://www.utusanborneo.com.my/2019/03/21/samun-wanita-warga-china-dua-suspek-diberkas
 

No comments:

Post a Comment