Thursday, March 7, 2019

Siasat, bukan nafikan- Baru Bian


MIRI: Menteri Kerja Raya yang juga Ketua PKR Sarawak, Baru Bian berkata wakil rakyat atau menteri di peringkat Kerajaan Negeri, seharusnya menyiasat perkara dan masalah yang berlaku terutama isu-isu yang sudah 'terang' diperkatakan dan bukan menafikannya. 
Merujuk kepada kes pencerobohan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di Mulu, yang didakwa berlaku kejadian seumpama itu, oleh penduduk kampung, bagaimanapun dinafikan oleh beberapa pihak, termasuk salah seorang menteri muda di kabinet negeri, baru-baru ini.  
"Jika ada kes seumpama itu berlaku, perkara terbaik yang harus dilakukan oleh pemimpin-pemimpin di peringkat kerajaan negeri, ialah jangan menafikannya sebalik saya mencadangkan mereka supaya menyiasat perkara tersebut," katanya kepada pemberita pada sidang media di sini, petang semalam. 
Ini kerana melalui siasatan mendalam, kerajaan (negeri) mungkin akan mengetahui punca sebenar yang berlaku atau perkara sebenar dan bukan hanya mendengar daripada sebelah pihak atau satu pihak sahaja. 
"Selepas siasatan yang dibuat, kalau mereka mahu bawa isu tersebut ke mahkamah, terpulang kepada mereka untuk berbuat demikian. 
"Tetapi paling penting ialah, apa pun juga aduannya kita perlu siasat terlebih dahulu, kerana isu ini masih belum dimuktamadkan di mahkamah lagi," tambahnya. 
Sehubungan itu beliau juga berharap pihak kerajaan perlu sabar untuk menangani kes-kes seumpama itu dan menyiasat aduan ke atas isu berkenaan. 
Menurut Baru Bian lagi, beliau sendiri sudah dimaklumkan mengenai tuntutan oleh penduduk di Mulu, terdiri dari kaum Berawan dan penduduk asal di sana, malah pernah mengambil beberapa kes mengenai perkara berkaitan. 
"Difahamkan isu ini masih didebatkan dan dibicarakan di mahkamah dan isu ini juga akan dibicarakan lagi, pada 17 Mac ini kerana firma saya juga turut terlibat. 
"Saya berharap perbicaraan seterusnya akan memutuskan keraguan dan pertelingkahan mengenai kes berkenaan (pencerobohan tanah NCR di Mulu) kerana firma saya juga turut terlibat," ujar beliau lagi. 

Sumber: Utusan Borneo

No comments:

Post a Comment