Tuesday, March 26, 2019

'Sebab Cik Miera, saya dikecam'

HANTARAN pengguna Facebook dengan nama Cik Miera turut menarik perhatian pada prosiding inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim di Mahkamah Koroner di Shah Alam, hari ini.
Saksi ke-24, Pakar Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr Ahmad Hafizam Hasmi berkata, hantaran berkenaan yang sebelum ini tular di FB menyebabkan dia menerima kata-kata cacian akibat dianggap berbohong.
“Saya tak buat apa-apa balasan di FB kerana saya mohon kalau boleh, kita semua mahu mencari kebenaran.
“Jika sekiranya ada maklumat lain berhubung kematian atau kecederaan lain yang tidak dijumpai semasa pemeriksaan klinikal dan bedah siasat, saya mohon dipanggil ke mahkamah untuk sahkan maklumat itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya komen berhubung hantaran berkenaan oleh Pegawai Pengendali, Hamdan Hamzah pada hari ke-17 prosiding berkenaan.
Terdahulu, saksi pakar itu turut menarik perhatian wartawan dan orang awam yang berada di galeri awam apabila membacakan salinan hantaran FB berkenaan di mahkamah sebelum secara berseloroh berkata, “Sedih pula.”
Menjawab soalan lain Hamdan, Dr Ahmad Hafizam berkata, semua keterangan berhubung kecederaan dialami anggota bomba itu adalah berdasarkan kepada kelayakannya dan ilmu dalam perubatan forensik.
“Macam mana si mati mendapatkan kecederaan berdasarkan kebarangkalian yang paling mungkin,” katanya.
Katanya, semua kecederaan dijumpai ketika pemeriksaan klinikal dan bedah siasat sudah didokumentasikan dalam laporan.
“Itu sahaja komen saya,” katanya.
Saksi pakar itu yang berpengalaman lebih 20 kali memberikan keterangan di mahkamah dengan lebih 10 daripadanya membabitkan kes bunuh sekali lagi menegaskan, kecederaan pada si mati adalah tidak sepadan dengan dikasari secara fizikal atau keganasan.
Sebelum ini, tular hantaran individu terbabit yang memberi komen berhubung inkues berkenaan.
Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.
Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara pada 17 Disember lalu.
Prosiding di hadapan Koroner Rofiah Mohamad.

No comments:

Post a Comment