Friday, March 22, 2019

Kerja pemasangan gas paip di Desa Pujut 2 giat dilaksanakan




DI SINI: Lee bersama yang lain menunjukkan penanda saluran gas paip yang dipasang di Desa Pujut 2, Miri ketika meninjau projek pemasangan gas paip tersebut semalam.

MIRI: Seluruh penduduk kawasan Permyjaya di sini bakal mempunyai bekalan gas paip sebaik sahaja kerja-kerja pemasangan yang sedang dilaksanakan di Desa Pujut 2 siap sepenuhnya menjelang penghujung 2020.
Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Lee Kim Shin berkata, Desa Pujut 2 satu-satunya kawasan di Permyjaya yang belum mempunyai gas paip dan kerja-kerja pemasangan kini pada fasa ketiga.
“Desa Pujut 2 adalah satu-satunya kawasan masih tidak mempunyai paip gas di kawasan Permyjaya. Oleh itu, penduduk di sini memohon mempunyai gas paip yang lama dinantikan.
“Sarawak Gas melakukan pemasangan gas paip secara berperingkat iaitu bagi Desa Pujut 2 melibatkan sejumlah 1,073 rumah dan kerja-kerja dilaksanakan dalam empat fasa.
“Kontraktor dipertanggungjawabkan kini menjalankan kerja-kerja terbabit untuk fasa ketiga melibatkan 296 rumah,” katanya ketika meninjau projek pemasangan gas paip tersebut semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu berkata, peringkat terakhir fasa keempat turut dilaksanakan dalam masa terdekat melibatkan 255 rumah memandangkan projek diberikan kepada kontraktor.
Dalam pada itu, beliau turut meminta Sarawak Gas untuk melaksanakan gas paip di kawasan perumahan Southlake dan Vista Perdana.
“Perkara yang baik sekarang ialah pengguna boleh membayar pemasangan gas paip di rumah mereka melalui ansuran dengan bayaran serendah RM380 bergantung kepada skim dipilih.
“Tetapi, apabila bekalan gas paip sudah ada nanti mereka dapat menjimatkan perbelanjaan penggunaan gas terutamanya penggunaan gas tong dengan purata bayaran bil sebulan RM10 atau lebih rendah,” jelasnya.
Katanya, pengguna di sini amat bertuah kerana Miri merupakan satu-satunya bandar raya yang mempunyai bekalan gas paip.
Sementara itu, Pengurus Tapak Sarawak Gas Richard Liew memberitahu pelaksanaan gas paip untuk kawasan Naim Southlake dan Vista Perdana hanya bermula sebaik sahaja projek Pan Borneo siap di kawasan tersebut.
“Kita perlu mengetahui kawasan diliputi projek Pan Borneo terbabit dan setelah selesai jalan itu baharulah kita dapat melaksanakan kerja-kerja seterusnya,” kata beliau.
Liew berkata, projek pemasangan gas paip bagi fasa keempat untuk Desa Pujut 2 akan dimulakan dalam masa terdekat.
“Kita hanya menunggu perjanjian ditandatangani untuk dipulangkan dan sebaik sahaja dipulangkan, maka kerja-kerja pemasangan bermula,” katanya.

Sumber: https://www.utusanborneo.com.my/2019/03/23/kerja-pemasangan-gas-paip-di-desa-pujut-2-giat-dilaksanakan

No comments:

Post a Comment