SERIAN: Seorang lelaki kantoi memiliki dadah selepas cuba melarikan diri daripada diperiksa anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) di pasar Serian, di sini sekitar jam 11 pagi hari ini.
Ketua Polis Daerah Serian DSP Aswandy Anis semasa dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu suspek menunggang sebuah motosikal semasa ditahan untuk pemeriksaan.
Menurutnya berlaku pergelutan di antara suspek dengan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian apabila suspek bertindak agresif kerana enggan diperiksa.
“Anggota trafik bagaimanapun terpaksa menggunakan kekerasan kerana suspek bertindak agresif.
“Hasil pemeriksaan berjaya menemui peket lutsinar disyaki berisi dadah dan seterusnya dirujuk ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Serian untuk tindakan selanjutnya,” katanya, di sini, hari ini.
Suspek berbangsa Cina dan berasal dari Kampung Kerait itu kini ditahan untuk siasatan lanjut.
Selain itu, tular di media sosial hari ini beberapa video yang menunjukkan cubaan suspek melarikan diri daripada ditahan anggota trafik.
No comments:
Post a Comment