Thursday, March 28, 2019

16 pasukan rebut kejuaraan Piala KPD Samarahan 2019


KOTA SAMARAHAN: Sebanyak 16 pasukan terdiri daripada jabatan kerajaan di Bahagian Samarahan akan berentap merebut kejuaraan pada Kejohanan Bola Sepak Piala Ketua Polis Daerah (KPD) sempena Peringatan Hari Polis Ke-212 anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan.
Pasukan tersebut ialah IPD Samarahan, Risda, Felcra, IPK Sarawak, IPD Padawan, Imigresen, Sentosa Medic, Landas (Jabatan Tanah dan Survei), AADK, Pendidikan FC, 3 Rejimen Askar Jurutera Diraja, Pulapol Sarawak, TLDM Kuching, IPD Kuching, PB UiTM Samarahan dan Education Samarahan.
Pengerusi Penganjur, ASP Mike Ibrahim berkata kejohanan itu diadakan bagi mewujudkan jalinan kerjasama lebih erat antara jabatan kerajaan peringkat persekutuan dan negeri terutamanya di daerah Samarahan.
“Majlis perasmian kejohanan ini akan diadakan pada 29 Mac ini bertempat di Stadium Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Kota Samarahan, jam 4 petang.
“Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, DSP Lee Chong Chern akan melakukan majlis perasmian pertandingan tersebut,” katanya di sini semalam.
Menurutnya, padang yang akan digunakan sepanjang kejohanan itu ialah Stadium UNIMAS, Padang INTAN dan Padang Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus 2.
“Semua perlawanan akan dilangsungkan pada hujung minggu iaitu Sabtu dan Ahad sahaja. Perlawanan akhir diadakan pada 28 April depan di Padang INTAN Cawangan Sarawak, Kota Samarahan,” jelasnya.
Beliau berkata, penganjur berharap kejohanan edisi pertama itu mampu mencapai objektif yang disasarkan iaitu bagi mengeratkan hubungan silaturahim.
“Selain itu, kita juga ingin menggalakkan aktiviti sukan sebagai budaya hidup sihat,” katanya.

No comments:

Post a Comment