Friday, March 22, 2019

Ibu bapa jangan abai anak di IPT: Dr Abdul Rahman

KUCHING: Jangan abaikan anak-anak yang sedang me-nuntut di institusi pengajian tinggi (IPT), tegas Menteri Muda Elektrik Luar Bandar Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.
Beliau berkata, ibu bapa harus memberi perhatian sewajarnya terhadap pelajaran anak-anak yang sedang me-nuntut di IPT.
“Ia penting untuk memasti-kan pelajaran anak mereka lancar dan tanpa halangan,” katanya.
BANTU: Dr Rahman menyampaikan sumbangan kepada pelajar.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Sumbangan Pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai di pusat khidmatnya di sini semalam.
Menurut Dr Rahman, antara usaha yang boleh diambil ibu bapa ialah mendampingi dan sentiasa berhubung dengan anak mereka untuk mengetahui perkembangan.
Beliau memberitahu, ini kerana ketika berada di IPT, pelbagai perkara baharu ditemui dan mereka mungkin boleh terpengaruh atau lalai.
Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai berkata, setiap pelajar perlu terus menumpukan kepada pelajaran dan tidak terpengaruh dengan sebarang unsur negatif.
“Selepas tamat pengajian dan mendapat pekerjaan, setiap pelajar juga perlu menanamkan tekad untuk berbakti kepada keluarga dan masyarakat,” ujarnya.
Selain itu, beliau memberitahu, pelbagai usaha bersepadu dilaksanakan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Pantai Damai bersama Biro Pendidikan dan Badan Muafakat Pendidikan DUN Pantai Damai untuk memastikan lebih ramai generasi muda menjadi ilmuan dan cendekiawan pada masa hadapan.
“Anugerah IPT telah diwujudkan sebagai insentif dan galakan kepada pelajar-pelajar berjaya yang berjaya melangkah kaki meneruskan pelajaran ke menara gading,” katanya lagi.
Pada majlis itu, seramai 50 pelajar IPT dalam kawasan DUN Pantai Damai menerima sumbangan tersebut.

No comments:

Post a Comment