Penyerang Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang menyumbat gol ketiga pasukannya ketika menentang Stade Rennes pada saingan Liga Europa, awal pagi tadi. - Foto REUTERS
Keputusan pada aksi kedua itu menyaksikan Gunners mengubah defisit kekalahan 1-3 pada aksi pertama di Perancis untuk mara ke peringkat lapan terbaik menerusi agregat 4-3.
Kejayaan Arsenal turut menyaksikan enam pasukan daripada Liga Perdana Inggeris menempatkan diri ke peringkat suku akhir kejohanan di Eropah.
Selain Arsenal dan Chelsea yang beraksi di kancah Liga Europa, empat kelab dari England turut mara ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara menerusi Liverpool, Manchester City, Manchester United dan Tottenham.
Rennes yang belum pernah merasai pengalaman beraksi di peringkat 16 terbaik kejohanan besar Eropah dikuatkan dengan kehadiran ribuan penyokong ke London.
Begitupun berbanding mendapat inspirasi, skuad kendalian Julien Stephan itu tampak gugup apabila gawang mereka dibolosi dua kali dalam tempoh 15 minit permainan
Tuan rumah yang terdesak membuka tirai jaringan seawal minit ke-5 apabila hantaran rendah Aaron Ramsey tidak disia-siakan Pierre-Emerick Aubameyang.
Pemain Arsenal, Ainsley Maitland-Niles menanduk bola membolosi gawang Stade Rennes pada saingan Liga Europa, awal pagi tadi. - Foto REUTERS
Penyerang Gabon itu terus menampilkan kehebatannya apabila turut terbabit dengan jaringan kedua Arsenal 10 minit kemudian menerusi Ainsley Maitland-Niles sekali pun ia mencetus kontroversi kerana ia didakwa ofsaid.
Tetapi disebabkan ketiadaan sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) di Liga Europa, jaringan itu disahkan oleh pengadil.
Dan gol kemenangan Gunner terhasil 18 minit sebelum perlawanan tamat apabila Aubameyang sekali lagi bijak menyambut hantaran Sead Kolasinac bagi meledak gol ke-22 miliknya musim ini. - AFP
No comments:
Post a Comment