Tuesday, March 26, 2019

Penunggang motosikal maut dalam nahas babit tiga kereta

Mangsa diberikan rawatan awal di lokasi kejadian sebelum dikejarkan ke HUS.

KUCHING: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggang terbabit dalam kemalangan dengan tiga buah kereta di Jalan Bayor Bukit, di sini sekitar 2.30 petang hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, mangsa yang bekerja sebagai pemandu lori dikenali sebagai Law Moi Mui, 56, dari Batu Kawa disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Umum Sarawak (HUS) pada pukul 3.10 petang.
"Mangsa yang bergerak dari arah lampu isyarat Jalan Urat Mata menuju ke Lorong Bayor Bukit 8 telah bergesel dengan sebuah kereta yang bergerak dari arah sama.
"Akibat kemalangan ini, motosikal terdorong ke hadapan lalu masuk ke laluan bertentangan dan berlanggar dengan sebuah lagi kereta menyebabkan mangsa bersama motosikalnya terlambung ke belakang dan terkena sebuah kereta lain," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 
Orang ramai yang menyaksikan kemalangan tersebut kemudian segera membantu mangsa sementara menunggu ketibaan anggota paramedik di lokasi kejadian.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


No comments:

Post a Comment