Sunday, March 24, 2019

Lima kaki sabung ayam dicekup di Bau

Serbuan Op Dadu di kawasan tanah lapang atas bukit di Tasik Kunyit pada Ahad

KUCHING: Lima lelaki kaki judi dicekup ketika sedang leka menyabung ayam di kawasan tanah lapang atas bukit, Jalan Bidi, Tasik Kunyit di Bau, pada Ahad.
Serbuan Op Dadu itu dibuat oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau sekitar 2.30 petang. 
Menurut Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon, kesemua lelaki yang ditangkap berusia antara 44 hingga 56 tahun itu dicekup ketika sedang leka menjalankan aktiviti sabung ayam.
"Apabila sampai di lokasi, kelihatan lebih kurang 100 orang berkumpul dan telah melarikan diri apabila menyedari kehadiran pihak polis, namun kita berjaya menangkap lima lelaki terbabit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Poge berkata polis turut merampas enam ekor ayam sabung hidup, seekor bangkai ayam sabung, tiga bilah taji ayam dan satu unit alat penimbang.
"Kesemua tangkapan dan barang kes telah diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut," ujarnya.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 3(1) Akta Pencegahan Dan Penganiayaan Terhadap Binatang 1962.

Sumber: https://www.utusanborneo.com.my/2019/03/25/lima-kaki-sabung-ayam-dicekup-di-bau

No comments:

Post a Comment