Fatimah menyampaikan cenderahati tanda kenangan kepada Farid (kanan) sempena kunjungan hormat ke pejabatnya di Bangunan Masja di Kuching hari ini.
KUCHING: Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK) bekerjasama dengan Sarawak Information Systems Sdn Bhd (SAINS) membangunkan sistem pendaftaran secara atas talian khusus untuk ibu tunggal.
Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah kerjasama tersebut telah bermula sejak tahun lepas dan kementerian kini bersama dengan SAINS dalam proses menyediakan sistem tersebut.
“Saya belum dapat menyatakan secara tepat bila sistem ini akan dapat digunakan tetapi apa yang pasti sistem tersebut kini dalam proses.
“Oleh kerana senario di Sarawak di mana ada tempat yang tidak dapat jaringan internet maka pendaftaran ibu tunggal masih perlu dibuat secara manual,” katanya pada sidang media di Bilik Perbincangan KWKPK di Aras Bawah, Bangunan Masja di sini, hari ini.
Terdahulu Fatimah menerima kunjungan hormat daripada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan dan Kesejahteraan Sosial), Datuk Dr Md Farid Md Rafik serta rombongan.
Di tanya statistik ibu tunggal di Sarawak, Fatimah berkata jumlahnya agak ramai berdasarkan jumlah yang berdaftar dengan persatuan-persatuan ibu tunggal yang ada di negeri ini.
Di bawah Persatuan Ibu Tunggal Sarawak (PITSA) sahaja katanya jumlahnya tidak kurang daripada 10,000 orang dan ada banyak lagi persatuan lain serta yang tidak berdaftar dibawah mana-mana persatuan.
Dari segi bantuan pula jelasnya, satu daripada bantuan yang diberikan oleh kerajaan kepada ibu tunggal ialah bantuan bulanan.
Bagaimanapun katanya daripada kajian yang dibuat, rata-rata ibu tunggal mahu berdikari kerana bantuan bulanan yang diterima adalah tidak mencukupi.
Atas sebab itu katanya, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg tahun lepas telah bersetuju untuk menyediakan geran RM5,000 kepada ibu tunggal untuk membeli peralatan bagi memulakan perniagaan.
No comments:
Post a Comment