KUCHING: Seorang pengurus syarikat membuat laporan polis mendakwa mengalami kerugian RM59,000 gara-gara terpedaya dengan tawaran pinjaman wang di internet.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak Superintenden Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata wanita berusia 42 tahun itu melihat tawaran tersebut pada 28 Februari lalu dan tertarik untuk membuat pinjaman berjumlah RM80,000.
Mangsa kemudian menghubungi pihak yang menawarkan pinjaman tersebut dan diminta membayar sejumlah wang untuk kelulusan pinjaman.
“Mangsa telah membuat pembayaran keseluruhan RM59,000 melalui tujuh transaksi ke lima akaun berbeza sejak 5 hingga 18 Mac sebagai kelulusan pinjaman.
“Bagaimanapun, mangsa mula berasa tertipu apabila tidak menerima apa-apa wang pinjaman walaupun telah membuat pembayaran,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Sementara itu, seorang promoter di sebuah pusat beli belah, di sini turut menjadi mangsa kes penipuan tidak wujud dengan membabitkan kerugian RM7,100.
Menurut Mustafa, wanita berusia 27 tahun itu menerima mesej melalui WhatsApp yang menawarkan pinjaman wang berjumlah RM10,000 dan bayaran balik RM158 sebulan selama tujuh tahun pada 17 Mac baru-baru ini.
Mangsa yang tertarik dengan tawaran tersebut kemudian diminta suspek membayar RM600 kononnya untuk proses pinjaman berkenaan.
“Mangsa kemudian membuat pembayaran keseluruhan RM7,100 ke satu akaun bank yang diberikan suspek melalui empat transaksi pada 20 hingga 23 Mac sebagai wang proses pinjaman.
“Mangsa hanya mengesyaki dirinya ditipu apabila masih tidak menerima wang pinjaman tersebut dan terus membuat laporan polis semalam (22 Mac),” kata Mustafa.
Jelas Mustafa, pihaknya kini sedang giat mengesan suspek dan siasatan lanjut masih dijalankan.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran pinjaman melalui internet mahupun media sosial dan sebaik-baiknya pinjamlah daripada istitusi kewangan yang sah, koperasi berdaftar atau syarikat pemberi pinjaman wang yang berlesen.
“Pinjaman dibuat oleh orang ramai adalah tertakluk di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, Akta Suruhanjaya Koperasi 2007 dan Akta Pemberi Pinjam Wang 1952,” katanya.
No comments:
Post a Comment