Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pada waktu ini kerajaan perlu memberi tumpuan untuk membayar hutang yang tinggi.
Katanya, jika kerajaan dapat membayar hutang ini, pendapatan juga akan dapat dipertingkatkan.
“Saya merayu rakan-rakan dalam Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) supaya bersabar sementara kita nak pulihkan kewangan negara. Kalau tiada tindakan ganas dan liar, dalam tiga tahun kita akan pulih semula.
“Walaupun kita bermasalah, tak sampai peringkat kebuluran. Kita sebuah negara aman, boleh pulih dengan lebih cepat. Di Asia Barat, negara mereka termusnah dan satu bilion daripada rakyat mereka akan mati kelaparan,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada majlis Perhimpunan Perdana CUEPACS Bersama Perdana Menteri di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia dekat sini hari ini.
Yang turut hadir ialah Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar dan Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda. - UTUSAN ONLINE