WOLVERHAMPTON, United Kingdom: Ole Gunnar Solskjaer mengakui Manchester United menampilkan persembahan terburuknya sepanjang dia menjadi pengendali pasukan itu yang menyaksikan mereka tersingkir daripada saingan Piala FA selepas kekalahan 2-1 kepada Wolves pada aksi suku akhir di Stadium Molineux.
Ini adalah kekalahan kedua berturut-turut Solskjaer selepas tewas kepada Arsenal dalam saingan Liga Perdana Inggeris minggu lalu, bagaimanapun pengendali sementara yang menggantikan Jose Mourinho itu masih bersemangat untuk memburu tiket Liga Juara-Juara musim depan dengan memburu tempat dalam kelompok empat teratas liga dan mengatasi Barcelona di pentas suku akhir kejohanan Eropah itu musim ini.
“Hari ini adalah persembahan terburuk kami sejak saya berada di sini,” kata Solskjaer yang menyaksikan Wolves mendahului mereka dengan dua gol dalam tempoh enam minit di babak kedua menerusi Raul Jiminez dan Diogo Jota, sebelum Marcus Rashford merapatkan jurang dalam masa kecederaan.
“Ia satu langkah ke belakang. Tidak ada kesungguhan untuk menyerang dan hantaran ke depan serta kurang penguasaan. Kami merasa terlalu selesa dengan kawalan dan tidak pernah memberi tekanan kepada penjaga gol dan pertahanan mereka.
“Tetapi kami mempunyai kedudukan yang bagus dalam liga, kami masih mempunyai Liga Juara-Juara. Manchester United sentiasa kembali pada prestasi mereka menjelang April dan Mei.”
Pengendali Wolves Nuno Espirito Santo gembira selepas pasukannya mara ke separuh akhir Piala FA buat kali pertama dalam tempoh 21 tahun.
“Ia amat bermakna. Piala FA adalah kejohanan tertua dan kami bermain dengan baik,” kata Santo.
“Kami kini perlu bersedia untuk perlawanan seterusnya.” – AFP
No comments:
Post a Comment