Thursday, March 7, 2019

'Lompat parti' perkara biasa dalam politik- Masing

Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing


KUCHING: Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing berkata amalan 'lompat parti' merupakan perkara biasa dalam sistem demokrasi.
Menurutnya sesiapa sahaja bebas membuat keputusan mengikut kehendak serta keinginan mereka dan semua  parti politik tertakluk kepada kebebasan ini.
"Inilah baik buruknya (sistem) demokrasi. Orang bebas bergerak atau membuat keputusan mengikut kehendak serta keinginan mereka. 
"Semua parti politik tertakluk kepada kebebasan ini...Semua orang bebas untuk 'lompat parti," katanya ketika diminta mengulas mengenai keputusan beberapa ahli parti itu termasuk Ahli Parlimen Sri Aman, Datuk Masir Kujat menyertai Parti Sarawak Bersatu (PSB).
Masing yang juga Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan bagaimanapun berkata tindakan 'lompat parti' itu menunjukkan sikap sebenar mereka.
"Sepanjang saya menjadi memimpin PRS, saya telah membantu ramai 'orang' berada di kedudukan yang penting dan menasihati mereka apa perlu dilakukan sebagai pemimpin.
"Satu perkara yang sangat penting ialah berterima kasih kepada institusi atau orang yang telah membantu mereka. Sebagai manusia, kita semua mempunyai hati nurani, itu adalah ukuran siapa kita (sebenarnya)," ujarnya.
Masing berkata sebagai pemimpin beliau boleh memberitahu 'mereka' makna berkhidmat kepada masyarakat tetapi tidak dapat membimbing mereka menjadi orang yang tahu berterima kasih.
Sementara itu, Setiausaha Agung PRS, Datuk Janang Bungsu berkata pucuk kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memecat pucuk kepimpinan PSB daripada Kabinet Negeri dan segera memotong dana Program Transformasi Luar Bandar (RTP) mereka.
"GPS mesti bertindak pantas.Tindakan mesti diambil ke atas 'bos-bos besar' PSB . Potong dana RTP mereka, jawatan menteri, setiausaha politik kepada ketua menteri dan ahli majlis," ujar Janang.
Beliau turut memberi amaran kepada PSB iaitu PRS akan membantah kemasukannya ke GPS kerana ia akan menjejaskan kekuatan gabungan itu.
"Kami sudah terlalu bertolak ansur kepada mereka, dengan tindakan terbaharu PSB ini, kita tidak akan menyokong kemasukan mereka ke dalam GPS," tegasnya.
Masir  hari ini mengesahkan penyertaannya ke dalam PSB yang dahulunya dikenali sebagai Parti Rakyat Bersatu (UPP).
Masir yang juga bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri berkata beliau meletak jawatan sebagai naib presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) semalam.
"Saya percaya PSB ialah parti pelbagai kaum yang sebenar dan berupaya menyatupadukan kaum di Sarawak.
"PSB merupakan parti tempatan yang bebas dan boleh bersuara bagi semua warga Sarawak, tanpa mengira kaum dan agama," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Masir berkata lagi, sebagai seorang pemimpin Dayak, beliau percaya PSB akan menjadi parti terbaik dalam menjaga hak kaum itu dan menyatupadukan mereka.
"Saya amat bersetuju dengan pendirian semua pemimpin PSB yang berikrar menyokong penuh dan setia kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg," katanya.
Nama besar yang turut menyertai UPP ialah bekas ADUN Marudi dan menteri muda, Datuk Sylvester Entri Muran, bekas Ahli Parlimen Lubok Antu Datuk William Nyallau Badak, dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun.
Turut menyertai, pemangku presiden Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) Banyi Beriak.
Pemimpin PRS yang lain terdiri daripada Richard Wil Uban, Datuk Kristoffer Nyuak Bajok, Raymond Bullie, Vivien Nyut Nasat, Assan Ngang, Ali Adap, Andrew Lamit, Edward Kurik, Andrew Winston Kaya, Penghulu Michael Derin, Patrick Sibat Sujang, Vivien Nyut Nasat dan Albert Renggian Selang.
Kesemua mereka ialah 18 orang.
Mereka juga mengadakan perjumpaan dengan Presiden PSB Dato Sri Wong Soon Koh dan timbalan presiden, Datuk Dr Jerip Susil di Kuching hari ini.

Sumber:Utusan Borneo

No comments:

Post a Comment