DUA jaringan melalui tandukan oleh Ander Herrera dan Paul Pogba pada separuh masa pertama memastikan kemaraan Manchester United ke suku akhir Piala FA selepas menewaskan juara bertahan Chelsea 2-0 dalam aksi sengit di Stamford Bridge, awal pagi tadi.
Pemain Sepanyol, Herrera yang menerima hantaran Pogba daripada sebelah kiri menanduk masuk gol pertama pada minit ke-30 dan Pogba turut bertindak cemerlang dengan menyudahkan hantaran Marcus Rashford untuk jaringan kedua sebelum rehat.
Kemenangan itu dianggap medan balas dendam oleh United yang kembali garang di bawah kendalian jurulatih sementara Ole Gunnar Solskjaer yang tewas kepada Chelsea pada aksi final di Wembley musim lalu ketika dikendalikan Jose Mourinho.
“Kemenangan yang cantik,” kata pemain tengah Perancis, Pogba yang kerap disisihkan Mourinho.
"Prestasi hebat daripada semua pemain hari ini. Mereka membantu saya memberikan prestasi terbaik. Saya memberikan semuanya untuk mereka. Mereka membantu saya menjaringkan gol dan kami menikmati permainan bersama.”
United akan menentang Wolverhampton Wanderers pada suku akhir di Molineux .
"Kami menentang Arsenal dan Chelsea di tempat lawan dan terpaksa bekerja keras. Wolves juga pasukan yang tidak boleh dipandang mudah,” kata Solskjaer.
"Prestasi kami malam ini fantastik, taktik kami menjadi. Pemain tengah kami beroperasi dengan lancar dan pertahanan pada separuh masa kedua juga fantastik.”
Kekalahan di pusingan kelima meningkatkan lagi tekanan ke atas bahu pengurus Chelsea Maurizio Sarri yang sebelum ini dibelasah 6-0 oleh Manchester City. Kedengaran sorakan daripada bangku penyokong tuan rumah yang menyanyikan ‘pecat di pagi hari.’
No comments:
Post a Comment