Tuesday, February 19, 2019

RM100 JUTA PERUNTUKAN MEMBINA SEMULA SEKOLAH DAIF DI SARAWAK

KUCHING : Kerajaan Sarawak menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan persekutuan atas peruntukkan sejumlah RM 100 juta bagi membina semula dan membaik pulih 33 sekolah daif di Sarawak.
Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Dato Sri Michael Manyin berkata, peruntukkan tersebut sudah disalurkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi tujuan tersebut.
Tambahnya lagi, kesemua sekolah daif berkenaan akan dinaiktaraf kepada bangunan yang menggunakan sistem IBS, dan pelaksanaannya akan dilakukan pada bila-bila masa sahaja.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas bersama Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menerima kunjungan hormat daripada Menteri Pendidikan Malaysia Dr Maszlee Malik di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.
Sementara itu, Dr. Maszlee berkata kunjungan hormat tersebut adalah bertujuan untuk membincangkan isu-isu mengenai sekolah daif di Sarawak dan isu pembekalan minyak Diesel terpaksa diberhentikan adalah tidak benar malah masih diteruskan untuk 21 buah sekolah di Sarawak.
Dalam pada itu, beliau memberitahu Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak telah bersetuju menggalakkan ramai pelajar antarabangsa belajar di Sarawak.
Katanya, beberapa urusan berkaitan kemasukan pelajar antarabangsa ke negeri ini akan dipermudahkan dengan kerjasama dengan kerajaan negeri dari aspek imigresen.
Tegasnya, Kementerian Pendidikan juga ingin memastikan agar pelajar mempunyai peluang untuk melanjutkan persekolahan dan mempunyai pendidikan yang berkualiti.



Sumber: TV Sarawak

No comments:

Post a Comment