Tuesday, February 12, 2019

Belum ada pertuduhan ke atas tahanan Malaysia di Kemboja


Zunita bercakap kepada wakil media selepas melawat anaknya di Penjara  Provinsi Banteay MeanChey. - Gambar Hii Kheng Juong

KUCHING: Pihak berkuasa Kemboja belum lagi mengemukakan pertuduhan terhadap 47 warga Malaysia yang ditahan di Penjara Provinsi Banteay Meanchey, PoiPet Kemboja atas dakwaan terlibat dalam perjudian dalam talian secara haram.
Perkara itu disahkan oleh salah seorang ahli keluarga tahanan yang menyertai rombongan dari Malaysia diketuai Ahli Parlimen Julau Larry Sng ke penjara berkenaan hari ini.
Rombongan itu turut disertai beberapa wakil media dan seorang lagi wakil keluarga tahanan untuk melawat 47 warga Malaysia yang ditahan di Penjara Provinsi Banteay MeanChey, di bandar Poipet, barat Kemboja pada 11 Disember tahun lalu.
Bagaimanapun, tidak semua wakil media yang menyertai rombangan itu dibenarkan memasuki penjara berkenaan setibanya mereka di situ sekitar 11.20 pagi waktu tempatan.
Dengan linangan air mata, ibu salah seorang tahanan dari Sarawak, Zunita Sedini berkata beliau berasa lega kerana mendapati anaknya sihat walaupun ditahan di penjara negara asing.
Beliau juga bersyukur kepada anaknya serta 46 lagi warga Malaysia yang ditahan di penjara itu dilayan dengan baik.
Beliau dalam pada itu berharap kerajaan Kemboja akan membebaskan 47 warga Malaysia agar mereka dapat pulang ke tahan air secepat mungkin.
Walaupun 47 rakyat Malaysia ini, 40 daripadanya dari Sarawak belum berdepan sebarang tuduhan, beliau berkata mereka tidak dimaklumkan sama ada kesemua mereka akan didakwa di mahkamah.
Tambahnya, belum ada sebarang petunjuk terhadap apa yang bakal berlaku kepada kesemua tahanan dari Malaysia itu.
Menurutnya Zunita lagi, rata-rata warga Malaysia yang ditahan di penjara berkenaan memberitahu mereka mahu pulang dan rindu kampung halaman lebih-lebih lagi ibu bapa mereka.
Daripada 47 warga Malaysia yang ditahan di Penjara Provinsi Banteay MeanChey, 40 adalah dari Sarawak, tiga dari Sabah dan empat lagi dari Semenanjung Malaysia.
Manakala 33 daripada 40 rakyat Sarawak terbabit adalah dari Kuching, enam dari Sibu dan seorang dari Sarikei.
Sementara itu, akhbar Khmer Times hari ini melaporkan jurucakap Mahkamah Provinsi Banteay Meanchey sebagai berkata hakim dijangka akan menemubual satu per satu kesemua 47 warga Malaysia berkenaan.
Akhbar berkenaan memetik jurucakap mahkamah itu, Roeun Lina sebagai berkata Hakim Penyiasatan sedang bersedia untuk menyoal kesemua warga Malaysia yang ditahan di penjara Banteay Meanchey.
"Hakim sedang menyiapkan kes ini dan akan memperincikan hasil siasatan. Kami tidak boleh memberitahu anda lebih terperinci mengenai kes ini kerana ia sedang disiasat," katanya.
"Kita perlu mempersoal mereka satu per satu, menerusi penterjemah. Mereka didakwa atas penglibatan dalam menjalankan operasi perjudian dalam talian secara haram," katanya.
Lina berkata mahkamah masih belum menentukan tarikh perbicaraan bagi kes itu.
"Sama ada mereka dakan dibebaskan atau tidak, saya tidak boleh mengatakannya. Sekarang kita tidak mempunyai perintah rasmi untuk membebaskan mereka," ujarnya.

Sumber:Utusan borneo
 

No comments:

Post a Comment