Saturday, February 16, 2019

Sasar catat rekod persembahan kebudayaan Orang Ulu terpanjang

Dennis menerima cenderahati baju t dari Jiwari disaksikan oleh Zainal (dua kanan) semasa persembahan sape 50 jam di RTM, Ahad

MIRI: Persembahan kebudayaan Orang Ulu terpanjang disasarkan sebagai rekod baharu untuk disenaraikan dalam Buku Rekod Malaysia (MBOR).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau berkata, persembahan boleh melibatkan tarian Datun Julut dan muzik buluh wanita yang perlu lebih dikenali ramai di dalam dan luar negara. 
Sehubungan itu, kerjasama Sarawak Energy Berhad (SEB) yang membantu menghasilkan rekod baharu persembahan sape tanpa henti 50 jam diperlukan untuk menjayakan projek tersebut. 
"SEB dicadang anjur Longest Orang Ulu Cultural Performance. Saya percaya kalau ini dilakukan, akan menarik lebih ramai penonton untuk melihat persembahan tarian panjang (Datun Julut), muzik bamboo wanita, serta pemain sape, " jelasnya ditemui pemberita Sabtu malam.
Selain mencipta sejarah, ia antara usaha memperkenalkan tradisi dan kebudayaan Orang Ulu serta menarik penyertaan generasi muda mempertahankan warisan nenek moyang mereka. 
Beliau turut mencadangkan agar rekod baharu dihasilkan untuk persembahan sape tanpa henti dari 50 jam kepada 100 jam.
Untuk menghasilkan rekod baharu itu, penyertaan akan dibuka kepada kaum lain yang turut dikaitkan dengan muzik sape. 
"Sekiranya dicadangkan lagi, kita mungkin boleh cuba selama 100 jam dan buka kepada komuniti lain yang bermain sape, bukan hanya Orang Ulu sahaja, " jelas beliau. 
Semua terpulang kepada tulang belakang acara ini (SEB)," jelas beliau. 
Dennis memuji usaha SEB dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengendalikan persembahan sape untuk MBOR yang disifatkan sebagai usaha murni menyemai minat dan menghidupkan salah satu aspek kebudayaan penting dalam komuniti Orang Ulu.
Aktiviti itu berjaya  menghimpunkan komuniti Orang Ulu serta kaum lain untuk melihat persembahan dan memberi sokongan. 
Program latihan bermain sape Warisan Sape Telang Usan oleh SEB dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Long San sejak 2016 telah membuahkan hasil. 
Dennis melihat keyakinan pemain muda yang terlibat dalam program itu semakin meningkat ketika membuat persembahan pentas. 
Beliau berkata,  minat mendalam dalam seni budaya mampu membentuk individu yang berdisiplin tinggi. 
Kerajaan negeri akan terus memberi sokongan penuh terhadap usaha-usaha mempromosi dan mempertahankan seni dan budaya pelbagai kaum etnik di Sarawak.
Hadir sama Pengarah Penyiaran RTM Kawasan Sarawak Zainal Abidin Asri Abd Wahid, Pengurus Besar CSR dan Kelestarian SEB Jiwari Abdullah. 

Sumber:Utusan Borneo

No comments:

Post a Comment