44 ORANG MANGSA BERASAL DARI SARAWAK 😢😢😢
KUCHING: Seramai 47 warga Malaysia menjadi mangsa penipuan sindiket pemerdagangan manusia dan kini ditahan di sebuah Penjara Daerah di Kemboja.
Daripada kesemua mereka yang ditahan, 44 orang adalah berasal daripada Sarawak dan lebih kurang 10 orang adalah gadis muda yang berusia antara 18 hingga 20 tahun.
Ahli Parlimen Julau, Larry Sng selaku jurucakap yang mengetengahkan isu ini berkata hampir kesemua mangsa berasal dari keluarga yang tidak berkemampuan di Sarawak.
"Mereka ditahan tanpa dibicarakan di mahkamah dan perkara ini tidak dimaklumkan kepada pihak kedutaan Malaysia," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Menurut Larry, tujuan kesemua mangsa telah dibawa ke Kemboja oleh sebuah agensi pekerjaan yang menjanjikan pekerjaan dan gaji lumayan dalam mata wang dollar Amerika.
Setibanya di Kemboja, anak-anak ini ditempatkan di sebuah rumah persendirian tanpa mendapat pekerjaan yang dijanjikan.
Selang beberapa hari kemudian, mereka ditahan oleh polis Kemboja kononnya atas tuduhan permainan perjudian atas talian.
Bagaimanapun, kesemua mereka yang menafikan tuduhan tersebut telah ditahan selama seminggu di lokap polis dan dipindahkan ke Penjara Daerah kira-kira 446 kilometer dari Ibu Kota Kemboja pada 16 Disember tahun lalu sehingga hari ini.
"Ketika waktu itu, pihak kedutaan juga tidak mengetahui lokasi sebenar atau sebarang rekod mengenai penahanan semua mangsa," kata Larry.
Beliau menambah kesemua mangsa juga masih belum dihadapkan ke mahkamah untuk didakwa atau direman.
Katanya lagi, ahli keluarga mangsa juga hanya mendapat tahu berita penahanan anak-anak mereka melalui akhbar tempatan Kemboja.
"Mereka difahamkan bahawa anak-anak mereka boleh ditahan selama tiga tahun tanpa didakwa di mahkamah," katanya.
Sehubungan itu, Larry berharap agar Kerajaan Malaysia dan juga Sarawak dapat membantu menyelamat serta membebaskan kesemua mangsa.
Katanya anak-anak Malaysia terbabit termasuk keluarga mereka tiada daya dan tempat lain untuk bergantung harap bagi mendepani kerumitan birokrasi Kemboja.
oleh Nick Fletcher
Utusan Borneo Online
No comments:
Post a Comment