Thursday, April 11, 2019

Regata Samarahan kini kembali, tawar hadiah lumayan

Abdul Karim (tengah) bersama Ibrahim (kiri) serta ahli jawatankuasa pengelola lain semasa sidang media mengenai Regata Samarahan 2019.

KUCHING:  Regata Samarahan 2019 kini kembali selepas kali terakhir diadakan 2015, dengan menawarkan hadiah lumayan khasnya gelaran Raja Sungai.
Regata yang berlangsung pada 12 hingga 14 Julai diadakan di Tapak Regata Kampung Tambirat itu merupakan persiapan bagi menghadapi Regata Sarawak akan datang.
Menteri Pelancongan, Keseniaan, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Rahman Hamzah berkata, antara yang menarik pada Regata Samarahan itu nanti adalah merebut gelaran Raja Sungai dijangka menawarkan hadiah wang tunai sehingga RM7,500.
"Selain merebut Raja Sungai, Regata Samarahan menampilkan 11 kategori perlumbaan yang turut menawarkan hadiah menarik kepada pengayuh mahupun peserta.
"Pada tahun ini, antara kategori terbaharu ialah Bidar 20 Pekayuh Antara Kampung yang terbuka kepada kampung-kampung di Samarahan serta sekitar Kuching," katanya pada sidang media yang dihadiri Residen Samarahan Ibrahim Lumpu di pejabatnya di sini, hari ini.
Abdul Karim berkata bagi pekayuh atau peminat sukan perahu itu borang penyertaan akan mula dijual pada 10 Jun di Pejabat Daerah Asajaya dan Pejabat Residen Samarahan.Sementara tarikh tutup penyertaan katanya pada 4 Julai manakala tarikh cabutan undi akan diadakan pada 8 Julai.
Beliau berkata, majlis perasmian dijangka disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada 13 Julai dan Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud akan merasmikan penutupan serta menyampaikan hadiah untuk Raja Sungai.
Selain itu beliau memberitahu, pada tahun ini Regata Samarahan dijangka menerima lebih 20,000 pengunjung pada temasya tiga hari berkenaan.
"Ia memandangkan adanya akses jalan yang baik dimana siapnya jambatan Batang Samarahan dan jambatan Batang Sadong yang memudahkan pengunjung ke Kampung Tambirat.
"Tambahan pada tahun ini pelbagai pengisian menarik disediakan termasuk gerai jualan serta pameran agensi kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri," katanya.
 
Sumber: https://www.utusanborneo.com.my/2019/04/11/regata-samarahan-kini-kembali-tawar-hadiah-lumayan

No comments:

Post a Comment