Thursday, April 25, 2019

Anwar percaya tambah tempat ke matrikulasi cuma sementara



    Anggota Parlimen Port Dickson Anwar Ibrahim berpendapat keputusan kerajaan menambah bilangan kemasukan pelajar ke Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hanya bersifat sementara.
    Menurut Anwar beliau percaya kementerian akan merangka satu polisi kemasukan ke program berkenaan yang akan dapat merangkumi semua kaum.
    "Ada yang bimbang keputusan menambahkan pengambilan pelajar India akan menjejaskan jumlah yang diperuntukkan kepada pelajar Melayu. 
    "Saya percaya keputusan menambahkan kerusi matrikulasi adalah satu susunan sementara selepas terdapat ketegangan.
    "Kami tak nak mereka fikir kita ambil daripada Melayu. Jadi kami memperbesarkan 'kek' (jumlah kerusi matrikulasi)," katanya.
    Anwar berkata demikian kepada pemberita selepas menerima anugerah "Global Citizenship Award" daripada Saturna Capital Corporation di sebuah hotel di Kuala Lumpur hari ini.
    Semalam, KPM mengumumkan jemaah menteri bersetuju menambah bilangan kemasukan pelajar ke program matrikulasi KPM kepada 40,000 tempat berbanding 25,000 sebelum ini.


    KPM turut memberitahu kuota pengambilan pelajar dikekalkan pada kadar 90 peratus untuk bumiputera dan 10 peratus kepada bukan bumiputera.
    Namun, keputusan jemaah menteri tidak disenangi segelintir pihak yang menggambarkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebagai 'BN 2.0' kerana masih mengekalkan sistem kuota.
    'Mereka yang kritik perlu bagi cadangan'
    Bagaimanapun, Anwar mempertahankan keputusan jemaah menteri dengan mendakwa mereka yang mengkritik tidak memberikan sumbangan kepada pembangunan pendidikan negara.
    Anwar menerima anugerah "Global Citizenship Award" daripada Saturna Capital Corporation di ibu negara hari ini.
    "Mereka yang kritik, saya percaya mereka ini tidak pernah merangka polisi ke arah agenda Malaysia baru. Mereka ini perlu bantu dengan mengemukakan cadangannya," katanya.
    Menurut Anwar, beliau menyerahkan kepada kerajaan untuk meneliti isu ini dan memberi jaminan tidak akan campur tangan.
    "Buat masa ini, saya percaya kita perlu menunaikan janji kita kepada masyarakat India iaitu menambahkan jumlah pengambilannya (ke matrikulasi). 
    "Pada masa yang sama, kita tidak boleh menolak kebimbangan masyarakat Melayu, terutamanya penampilan pelajar Melayu di beberapa fakulti agak rendah," katanya.
    Tambahnya, beliau juga memiliki pendirian serupa bahawa kumpulan berpendapatan rendah Melayu dan B40 perlu diberi perhatian khusus supaya tidak berasa dipinggirkan.

    'Saya sentiasa hubungi Muhyiddin'
    Dalam perkembangan lain, Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) menolak khabar angin Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin tidak sehaluan dalam isu rombakan exco kerajaan Johor.
    "Saya percaya isu antara Mahathir dan Muhyiddin tidak benar. Sebab, saya sentiasa menghubungi Muhyiddin," katanya ringkas.
    Terdahulu, Malaysiakini melaporkan sumber dari Bersatu memberitahu Muhyiddin memohon maaf kepada Mahathir semasa mesyuarat tergempar majlis tertinggi parti itu pada malam Isnin.
    Mahathir, dikatakan marah terhadap perubahan yang dibuat dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor.

    No comments:

    Post a Comment