Thursday, April 11, 2019

17 premis terlibat judi haram dipotong bekalan elektrik

Kakitangan SEB dan anggota polis di lokasi pemotongan bekalan elektrik hari ini

BINTULU: Sebanyak 17 premis terdiri daripada kedai-kedai runcit yang disyaki terlibat dalam kegiatan judi tanpa lesen dipotong bekalan elektrik, hari ini.
Operasi bersepadu oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Bintulu dan kakitangan Sarawak Energy Berhad itu dijalankan di kawasan Bintulu dan Kidurong dari pukul 9 pagi hingga 1 tengah hari. 
Menurut Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zulkipli Suhaili berkata, operasi itu dibuat di premis-premis yang didapati menjalankan aktiviti perjudian tanpa lesen. 
"Sebanyak 17 premis terdiri daripada kedai-kedai runcit di kawasan Bintulu dan Kidurong diputuskan bekalan elektrik hari ini," katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, mengikut Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953, polis boleh membuat permintaan untuk pemotongan elektrik jika mempunyai alasan munasabah premis itu menjalankan sebarang aktviti perjudian.
Zulkipli turut memberi amaran keras kepada pengusaha kedai runcit dan pemilik premis agar tidak menjalankan sebarang aktiviti berunsur perjudian tanpa lesen sah di premis masing-masing.
Katanya, tindakan boleh diambil mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Pencegahan Jenayah 1959 ke atas individu-individu yang terlibat dengan kegiatan tersebut.

No comments:

Post a Comment