Thursday, April 11, 2019

Alasan ahli Parlimen GPS tolak RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 tiada merit - Baru

KUCHING: Tiada sebarang merit dalam hujah serta alasan ahli-ahli Parlimen dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019.
Menteri Kerja Raya Baru Bian (gambar) berkata ini kerana tujuan pindaan itu adalah mengembalikan kedudukan Sabah dan Sarawak sebelum pindaan 1976 dengan menggunakan frasa dan susunan kata tepat digunakan pada 1963 tetapi tanpa menyebut Singapura.
Katanya, ia adalah susulan cadangan dibuat oleh ahli-ahli Parlimen Kerajaan dan ahli-ahli Parlimen GPS.
"Kerajaan PH menunjukkan keikhlasan dan muhibah dengan mendengar permintaan mereka tetapi apabila tiba masa membuat pengundian penting, ahli-ahli Parlimen GPS menunjukkan sikap sebenar mereka dengan enggan mengundi.
"Tingkah laku mereka itu menimbulkan persoalan, sama ada mereka ikhlas mahu mengembalikan status Sabah dan Sarawak, suatu yang diimpikan oleh semua rakyat Sabah dan Sarawak selama ini," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Baru yang juga Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak mempersoalkan hasrat ahli-ahli Parlimen GPS merujuk RUU itu kepada Jawatankuasa Pilihan Khas.
"Sebagai maklum balas kepada hujah mereka sama ada RUU ini seharusnya dirujuk kepada jawatankuasa pilihan, DUN (Dewan  Undangan Negeri) atau Agong, persoalannya ialah sama ada adakah ini prosedurnya pada 1976 ketika Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan dipinda.
"Jawapannya ialah 'tidak'-jadi kenapa sekarang ia berkehendak begitu?
"Hakikatnya, RUU ini perlu dirujuk kepada DUN Sabah dan Sarawak kerana pindaan dicadangkan pada 1976 akan dihantar ke DUN Sabah dan Sarawak untuk mendapat persetujuan kerana ia melibatkan penurunan status Sarawak, tetapi tidak (dibawa ke DUN)," ujarnya.
Berbeza dengan cadangan kerajaan PH katanya iaitu ia bukan tidak memberi manfaat kepada Sarawak tetapi mengembalikan statusnya kepada yang asal oleh sebab itu ia tidak perlu dibawa ke DUN Sarawak (untuk dibincangkan).
Mengenai definasi 'Persekutuan', Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) telah menjelaskan sebab ia tidak ada dalam pindaan dicadangkan.
Baru memetik kata Dr Mahathir: "Kerajaan tidak ada perancangan meminda tafsiran ini kerana tafsiran dimaksudkan untuk digunakan dalam beberapa peruntukan lain Perlembagaan Persekutuan yang masih berlaku."
Katanya, itu adalah penjelasan yang ringkas dan jelas dan hakikatnya adalah benar ia dibaca lebih lanjut kepada beberapa Perkara selepas Perkara 160.
Menurutnya penasihat-penasihat undang-undang kerajaan ketika itu tidak terlalu cuai atau jahil untuk tidak memasukkan peruntukan asas.
Tambahan katanya, pindaan Perkara 1(2) dicadangkan boleh dilakukan secara bebas daripada mana-mana peruntukan lain dalam Perlembagaan Persekutuan.
Oleh itu katanya, untuk membincangkan pindaan secara holistik seperti dinyatakan ahli-ahli Parlimen GPS adalah alasan yang tidak merit.
Baru berkata sekiranya ada keraguan tentang keikhlasan langkah-langkah kerajaan  PH untuk meminda Perkara 1 (2), keraguan-keraguan ini harus dilegakan oleh jaminan yang jelas, ringkas dan tepat oleh Perdana Menteri dalam ucapan pembukaan dan penggulungannya.
"Cadangan pindaan adalah semata-mata untuk meminda undang-undang terdahulu, dan semua isu lain di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang masih belum dipenuhi sedang dibincangkan dalam Jawatankuasa Pemandu, Jawatankuasa Teknikal dan pelbagai kumpulan kluster.
"Sekali lagi, pindaan yang dicadangkan ini boleh dilakukan secara bebas dalam perbincangan sekarang di bawah Jawatankuasa Pemandu.
"Sekiranya pindaan itu diluluskan, Sabah dan Sarawak akan dapat mengambil bahagian dalam perbincangan itu sebagai rakan kongsi yang sama, status mereka telah dipulihkan," ujarnya.
Justeru Baru berkata hujah meminda pindaan secara holistik selepas merujuk perkara itu kepada Jawatankyasa Pilihan Khas tidak mempunyai merit memandangkan semua jawatankuasa yang membincangkan MA63- terdapat wakil kerajaan Sarawak dalam setiap jawatankuasa itu.
Tambahan, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg katanya telah bersetuju di Jawatankuasa Pemandu untuk meminda Perkara 1(2) terlebih dahulu dalam semangat MA63.
Maka tindakan ahli-ahli Parlimen GPS telah memalukan beliau, ujar Baru.
"Perhimpunan menyokong usul kerajaan mengenai Akta Laut Wilayah dan permintaan 20 peratus royalti minyak (kedua-duanya berasal sebagai adalah idea pembangkang) kerana kita tahu ia adalah perkara yang benar-benar menjaga kepentingan Sarawak.
"Amat mengejutkan ahli-ahli Parlimen GPS tidak berpegang kepada prinsip yang sama tetapi membuktikan mereka sanggup mengkhianati rakyat Sarawak ketika saat penting dalam sejarah mereka.

No comments:

Post a Comment