REMAJA lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kampar, hari ini atas tuduhan melakukan sumbang mahram dengan kakak kandungnya sejak dua tahun lalu.
Tertuduh berusia 14 tahun mengaku bersalah atas pertuduhan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nur Faizah Muhamad Saleh dalam prosiding yang diadakan secara tertutup.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan dengan kakak kandungnya berusia 16 tahun yang mana perhubungan itu tidak dibenarkan undang-undang, hukum agama dan adat untuk berkahwin dengannya.
Kesalahan itu didakwa dilakukannya di rumah di Kampar antara Disember 2017 hingga Mei 2018.
Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan juga sebatan.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Norashikin Hassanor manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Nur Faizah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin sebelum menetapkan 20 Februari untuk sebutan semula kes bagi menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Media sebelum ini melaporkan remaja lelaki berkenaan ditahan polis selepas mengaku mengadakan hubungan sumbang mahram dengan kakaknya sehingga melahirkan seorang bayi perempuan di dalam tandas rumah mereka di Kampar, 15 Disember tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, perbuatan sumbang mahram itu terbongkar apabila kakak yang baru bersalin itu dibawa ke Hospital Kampar untuk mendapatkan rawatan pada 10 malam, hari yang sama.
Katanya, hasil soal siasat terhadap remaja perempuan itu mendapati dia mengaku sudah beberapa kali melakukan hubungan sumbang mahram dengan adik lelakinya pada Mei lalu di bilik belakang rumah mereka.
Sumber:Harian Metro
No comments:
Post a Comment