Jalur Gemilang dikibarkan di sebuah stadium di Gaza, Palestin minggu lalu, susulan keputusan kerajaan Malaysia yang tetap tidak membenarkan atlet Israel daripada memasuki negara ini.
Menurut Free Malaysia Today, bendera itu dikibarkan bersama-sama sepanduk di Stadium Yarmouk - antara yang tertua di Gaza - Sabtu lalu ketika satu perlawanan bola sepak berlangsung.
Ia terus dikibarkan di Stadium Palestin - yang pernah dibom Israel pada 2006 - keesokannya.
"Terima kasih Malaysia kerana menentang normalisasi (hubungan) dengan apa yang dipanggil 'Israel'," kata sepanduk yang mengiringi Jalur Gemilang itu, tanda penghargaan rakyat Palestin kepada ketegasan Malaysia.
Pengerusi Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM) Muslim Imran, tindakan itu untuk memperlihatkan kebanggan rakyat Palestin dengan Malaysia.
Selain pengibaran bendera, kata Muslim lagi, rakyat Palestin juga menyatakan sokongan di media sosial melalui tanda pagar #supportMalaysia.
Susulan keputusan Malaysia tidak membenarkan atlet Israel daripada menyertai Kejohanan Renang Para Dunia 2019 yang bakal di Kuching, Sarawak, Israel menyatakan kecaman terhadap Malaysia dan menyifatkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memiliki sikap antisemitisme yang tebal.
Jawatankuasa Olimpik Israel pula memberi tekanan berterusan kepada penganjur agar atlet mereka diberikan visa.
Ketika berucap di Oxford Union, United Kingdom Jumaat lalu, Mahathir sekali lagi menegaskan pendirian itu dengan berkata Malaysia berhak untuk menutup sempadannya kepada sesetengah pihak.
"Kita tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel sama sekali dan kita berpendapat mereka membuat terlalu banyak kesalahan tetapi tetap terlepas kerana tiada siapa berani untuk berkata apa-apa terhadap mereka," katanya sambil berkata beliau tidak kisah digelar antisemitik atas pendirian itu.
No comments:
Post a Comment