KUCHING: Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen akan betemu dengan Menteri Kewangan Lim Guan Eng awal minggu depan untuk berbincang mengenai waktu operasi yang optima bagi Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Sarawak.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu berkata pihaknya masih mengumpulkan maklum balas dari orang ramai berhubung waktu operasi baharu UTC ketika ini.
“Ramai yang mencadangkan supaya UTC memulakan waktu operasi sekitar tengah hari sehingga 9 malam untuk memberi kemudahan kepada mereka melaksanakan urusan mereka selepas waktu pejabat tanpa perlu mengambil cuti sehari atau separuh hari,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Kementerian Kewangan baru-baru ini mengumumkan waktu operasi UTC yang baharu di Sarawak, iaitu dari 8.00 pagi sehingga 5.00 petang bermula 22 Jan ini.
Chong berkata walaupun tiada rungutan mengenai watku operasi itu pada hujung minggu diterima, namun ramai yang menyuarakan rasa kecewa mengenai penutupan UTC selepas waktu pejabat pada hari-hari biasa.
Sebelum ini waktu operasi bagi UTC di seluruh negara adalah dari 8 pagi sehingga 10 malam (14 jam) setiap hari, dan cadangan waktu operasi yang diumumkan baru-baru ini akan mengurangkan jam operasi UTC, dan pada masa yang sama waktu operasinya berbeza antara lokasi.
“Kita faham keperluan segera untuk mengurangkan perbelanjaan kerajaan, terutama dengan mewarisi hutang RM1 trilion daripada kerajaan sebelum ini, di samping tambahan RM35 bilion pemulangan cukai yang yang tidak dibayar kerajaan terdahulu, yang dipersetujui oleh kerajaan semasa untuk dibayar balik kepada pembayar cukai tahun ini,” katanya.
Katanya dengan kekangan kewangan ini, kerajaan perlu mengoptima sumber yang terhad dengan membuat pelarasan tertentu berhubung waktu operasi untuk memenuhi keperluan berbeza kalangan orang ramai.– BERNAMA
No comments:
Post a Comment