Saturday, January 12, 2019

Gabriel Nistelrooy anak kelahiran Sarawak sertai Johor Darul Takzim 4



Gabriel Nistelrooy Tamin sah akan menyertai JDT 4 (bawah 19 tahun) apabila ditawarkan kontrak selama setahun bersama pasukan Harimau Selatan.
Gabriel yang hadir di Johor Bahru bagi sesi pemilihan terakhir skuad itu berjaya menambat hati jurulatihnya, Gonzalo Sanz Zaballos.
Bintang muda kelahiran Kolej Vokasional Miri yang bermain di posisi penyerang itu akan menandatangani kontrak bersama JDT 4, Ahad ini (esok).
Selaku jurulatih yang mendidik Gabriel, Mohamad Hakimi Man berbangga dengan pencapaian Gabriel apabila menjadi pemain pertama dari Miri beraksi bersama JDT 4.
“Seperti yang kita tahu pasukan JDT atau akademi JDT bukan calang-calang pasukan kerana mereka mempunyai kualiti dan standart tersendiri.
“Pemilihan pemain-pemain bukan dibuat sebarangan sebaliknya memerlukan pemerhatian tajam jurulatihnya, Gonzalo Sanz Zaballos,” katanya di sini semalam.
Gabriel sebelum ini turut ditawarkan peluang untuk beraksi bersama Sarawak namun bintang muda berbangsa Iban itu memilih untuk bersama JDT 4.
Hakimi berkata, Gabriel seorang individu yang berdedikasi, berdisplin dan patuh kepada nasihat mahupun arahan jurulatih.
“Gabriel berkeyakinan tinggi untuk mengubah nasibnya demi menjadi pemain profesional dan ini adalah peluang terbaik untuk beliau membuktikan kemampuannya,” kata Hakimi.


No comments:

Post a Comment