Friday, January 18, 2019

Projek mitigasi banjir dalam proses pembinaan, sebab itu masih banjir kilat - DBKU kepada Violet

Wee menunjukkan gambar mengenai lokasi projek dan banjir kilat di sekitar Padang Merdeka baru-baru ini.

KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) kesal dengan tuduhan tidak profesional Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pending, Violet Yong berhubung banjir kilat yang berlaku di kawasan Padang Merdeka baru-baru ini. 
Ahli Dewan DBKU, Datuk Wee Hong Seng berkata tuduhan tidak professional oleh wakil rakyat tersebut telah menyebabkan salah faham dalam kalangan masyarakat umum terhadap DBKU sebagai agensi pelaksana Projek Mitigasi Banjir Padang Merdeka. 
“ADUN Pending Violet telah meminta DBKU untuk menjelaskan mengapa kejadian banjir kilat masih berlaku di sekitar kawasan Padang Merdeka meskipun selepas membelanjakan jutaan ringgit bagi projek mitigasi banjir ini. 
“DBKU mengalu-alukan sebarang aduan daripada rakyat berhubung sebarang permasalahan tetapi aduan tersebut biarlah dibuat dengan cara profesional terutama apabila anda adalah seorang wakil rakyat. 
“Kami amat menghargai sekiranya YB (Violet) mendapatkan maklumat yang tepat mengenai projek ini sebelum membuat sebarang komen di media,” katanya pada sidang media di Lebuh Java berdekatan Esplanade Kuching di sini hari ini. 
Mengulas mengenai kejadian banjir tersebut, Wee berkata ia berlaku disebabkan kerja-kerja projek mitigasi banjir yang kini giat dilaksanakan dan telah mencapai 65 peratus kemajuan. 
Projek ini katanya dilaksanakan dalam tiga fasa dengan fasa pertama telah bermula pada Ogos 2016 dan siap pada Disember 2016 diikuti fasa kedua yang bermula pada Mac  2017 dan siap pada Oktober 2017. 
Projek ini kini memasuki fasa ketiga iaitu fasa yang terakhir melibatkan kerja-kerja pembinaan sistem perparitan baharu bagi  menyalurkan keluar air hujan di Jalan Masjid, Jalan Market, Lebuh Java ke Sungai Sarawak. 
“Apabila kita melaksanakan projek ini saya tidak melihat wakil  rakyat  ini (Violet) membantu kami dalam  bidaan mahupun dalam kajian masalah ini. 
“Setakat ini projek ini telah mencapai 65 peratus kemajuan dan masih dalam kerja-kerja pelaksanaan dan bukannya sudah siap seperti yang dituduh oleh Violet.
“Jadi, kami amat menghargai sekiranya Violet mendapatkan  maklumat yang tepat lebih-lebih lagi beliau sebagai wakil rakyat harus bersikap lebih bertanggungjawab dalam berkongsi maklumat dengan masyarakat umum,” katanya. 
Wee dalam pada itu juga tidak menolak projek ini akan berhadapan dengan kelewatan disebabkan masalah utama pengalihan dan pemindahan kabel-kabel utiliti pihak SESCO, Telekom dan Sacofa serta paip pihak Lembaga Air Kuching (LAK). 
 
Sumber: Utusan Borneo

No comments:

Post a Comment