MUKAH: Semangat perjuangan Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem atau lebih dikenali dengan panggilan Tok Nan masih tetap diteruskan walaupun selepas dua tahun pemergiannya.
Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, perjuangan menuntut hak-hak negeri yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebenarnya dimulakan oleh beliau dan tetap akan diteruskan.
“Tok Nan telah membangkitkan kita daripada tidur dan menyedarkan bahawa hak-hak kita sebenarnya terhakis,” katanya dalam Jerayawara Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Dataran Udang Mukah pada pagi Ahad.
Turut hadir Ketua Pemuda PBB Gerald Rentap Jabu dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Yussibnosh Balo.
Menurut Fatimah, walaupun Tok Nan tidak sempat menyelesaikan perjuangan serta tuntutan di bawah hak termaktub dalam MA63, namun ia tetap diteruskan sehingga kini melalui penubuhan GPS.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari kini katanya, mengambil alih untuk menerajui kesinambungan perjuangan itu.
“Penubuhan GPS adalah tepat pada masanya untuk kita memastikan segala tuntutan dan hak negeri dapat dicapai,” ujarnya.
Malah, keredibiliti GPS tidak dapat dinafikan dengan pengalaman lebih 50 tahun mengurus serta memerintah di negeri ini.
Tambahan lagi GPS kini tiada unsur-unsur pengaruh dari luar dan semua parti komponennya kini terdiri daripada parti politik teras Sarawak.
Walaupun senario politik Malaysia telah berubah selepas Pilihan Raya Umum lalu, di mana tampuk kepimpinan kerajaan pusat telah bertukar tangan kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH), namun hakikatnya Kerajaan Sarawak masih kekal dan sehingga kini masih di bawah naungan GPS.
Fatimah pada masa sama mempertanggungjawabkan semua ahli parti komponan GPS termasuk ahli veteran membantu mempromosikan gabungan berkenaan ke setiap peringkat dan lapisan masyarakat.
Konvoi rombongan tersebut bermula pada 11 Januari lalu di Limbang dan sejak itu ia bergerak ke segenap pelosok negeri dan dijangka berakhir di Kuching.
Sumber: Utusan Borneo
No comments:
Post a Comment