Teknologi bateri tidak bergerak selari dengan kemajuan teknologi telefon pintar. Keperluan tenaga meningkat tetapi teknologi Li-ion sudah kelihatan agak usang dengan hayat bateri yang terhad dan tempoh pengecasan yang agak lama. Oleh itu pembangunan bateri grafena diperlukan kerana ia boleh meningkatkan kapasiti bateri dengan mengekalkan saiznya
Terkini menurut ciapan @evleaks, Samsung dikatakan akan melancarkan peranti pertama dengan bateri grafena pada tahun 2020 atau awal 2021. Kelebihan grafena ialah ia membolehkan peranti dicas sepenuhnya dalam masa hanya 30 minit. Galaxy Note 10+ yang menyokong pengecasan pantas 45W masih memerlukan 65 minit untuk dicas sepenuhnya. Sungguhpun begitu bateri grafena adalah lebih mahal berbanding bateri Li-ion kerana ia masih lagi teknologi yang tidak digunakan dengan meluas.
Samsung telah membangunkan bateri grafena sejak 2017. Saintis dari Samsung Advanced Institute of Technology (SAIT) yang merupakan sayap penyelidikan Samsung telah berjaya menghasilkan bateri yang mengecas lima kali lebih pantas dengan penggunaan bebola grafena, Dengan pengenalan grafena ke dalam bateri Li-ion, kepadatan kapasiti bateri juga meningkat sebanyak 26.7% berbanding bateri Li-ion biasa.
No comments:
Post a Comment