Friday, June 7, 2019

Shukri: Saya hanya setuju berkhidmat satu tahun

Bekas ketua pesuruhjaya SPRM Mohd Shukri Abdull buat pertama kali tampil memberi penjelasan berhubung keputusannya untuk menamatkan kontraknya lebih awal yang diumumkan pada Selasa lalu.
Sambil menjelaskan tindakan itu dibuat secara ikhlas, beliau kesal keputusannya itu menyaksikan begitu banyak komen dan ulasan yang memfitnah dirinya.
“Saya ambil keputusan untuk memendekan kontrak saya secara ikhlas tapi banyak komen-komen negatif di media sosial seperti Facebook yang memburuk-burukkan saya dan memfitnah tentang saya.
“Jadi saya kena tampil, berkaitan dengan pemendekan tempoh jawatan, saya bukan letak jawatan tetapi cuma memendekan perkhidmatan saya yang sepatutnya berakhir pada 13 Mei 2020.
"Saya telah beritahu (Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ketika berjumpa dengannya pada 14 Mei tahun lalu) bahawa saya hanya setuju untuk berkhidmat selama satu tahun,” katanya pada satu sidang akhbar di Putrajaya, hari ini.
Mohd Shukri, 58, juga melahirkan rasa kesalnya kerana dilemparkan dengan pelbagai tuduhan dan fitnah yang mendakwa beliau diarah meninggalkan SPRM kerana menutup beberapa kes berprofail tinggi.
“Contohnya (ada yang) kata saya diminta letak jawatan, diminta meniggalkan SPRM sebab katanya cover up (tutup) kes Hishammuddin (Hussein) dan Shahrizat (Abd Jalil) dan (Ahmad) Zahid Hamidi.
“Sepanjang ingatan saya sepanjang tempoh saya sebagai ketua pesuruhjaya, tak ada fail pun dibuka ke atas Hishammuddin. Kes Sharizat atau NFC pula disiasat oleh polis, bukan SPRM.
“Kes Zahid pula telah dituduh,” katanya.
Mohd Shukri juga mengulas dakwaan ada pihak yang tidak berpuas hati dengannya kerana melepaskan passport bekas peguam negara, Mohd Apandi Ali. Katanya tidak itu tidak ada kena mengena dengan dirinya mahupun SPRM.
“Itu (keputusan) imigrasen, Apandi buat permohonan di mahkamah,” katanya.
Bekas ketua pesuruhjaya SPRM itu juga pada sidang akhbar berkenaan menafikan beliau terpalit dengan gejala amalan rasuah oleh pemimpin Umno.
“Saya juga dituduh terima rasuah peminpin Umno.… I am telling you, langsung tak ada ... 32 tahun 1 sen pun tak makan.
“Tak pernah saya ambil 1 sen pun dari kerajaan... nak tuduh saya rasuah. Langsung tak berasas,” katanya.
Jabatan Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan Selasa lalu mengumumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan permohonan Mohd Shukri untuk memendekkan perkhidmatan kontrak beliau yang sepatutnya tamat pada 17 Mei 2020.
Kata PMO keputusan itu dibuat selaras dengan Subseksyen 5(3) Akta SPRM 2009.
Untuk rekod Mohd Shukri dilantik mengetuai agensi antirasuah itu sejurus selepas Pakatan Harapan (PH) berjaya mengetepikan BN sebagai kerajaan persekutuan pada Mei tahun lalu.

Pelantikannya dibuat Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada 17 Mei 2018.
Mohd Shukri menggantikan Dzulkifli Ahmad yang menamatkan perkhidmatannya tidak lama sebelum itu untuk kembali bertugas di Jabatan Peguam Negara.
Mohd Shukri bukanlah asing kepada SPRM kerana sebelum ini beliau berkhidmat sebagai salah seorang pegawai paling kanan di agensi berkenaan.
Bagaimanapun beliau bersara pada pertengahan 2016 ketika skandal 1MDB membabitkan perdana menteri ketika itu, Najib Razak, semakin panas.
Sejurus selepas dilantik sebagai ketua pesuruhjaya SPRM, Mohd Shukri menceritakan pengalamannya dituduh sebagai pembelot kepada negara sedangkan, katanya, mereka ketika itu sedang berjuang untuk mendapatkan semula "duit yang dicuri daripada rakyat Malaysia".

No comments:

Post a Comment