Wednesday, December 11, 2019

Kuching FA Sambar Paul,Affy dan Andy



Kuching FA berminat menawarkan kontrak untuk Paul Sambang, Affy Shahrul Affendi dan Andy Nicholas anak Nipen.
Presiden Kuching FA telah mengadakan perjumpaan bersama 3 pemain tempatan tersebut di pejabat beliau pagi tadi. Perjumpaan ini bertujuan untuk menyatakan minat untuk menawarkan kontrak kepada mereka.
Paul dan Affy telah dikenalpasti sepanjang penganjuran K-League LSC 2019. Masing-masing mewakili pasukan Kasika CF dan Yayasan Sarawak.

Tuesday, December 10, 2019

Jawatan Kosong Akademik Dan Bukan Akademik Di UiTM Cawangan Sarawak

Universiti Teknologi MARA dengan ini mempelawa calon-calon Warganegara Malaysia yang berkelayakan dalam bidang-bidang yang berkaitan untuk mengisi kekosongan jawatan Akademik dan Pentadbiran secara Tetap/Kontrak di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak.
JAWATAN AKADEMIK (PENSYARAH)
1.BIDANG KEJURURAWATAN
2.BIDANG PENGURUSAN TEKNOLOGI PEJABAT
3.BIDANG BAHASA KETIGA (MANDARIN)
4.BIDANG TEKNOLOGI MAKANAN
5.BIDANG SAINS KOMPUTER
6.BIDANG BAHASA INGGERIS
7.BIDANG STATISTIK
8.BIDANG UNDANG-UNDANG AWAM
9.BIDANG PENTADBIRAN AWAM
10.BIDANG KEWANGAN
Borang permohonan dan maklumat jawatan terperinci boleh diperolehi dengan melayari laman sesawang UiTM Cawangan Sarawak di http:// sarawak.uitm.edu.my/
JAWATAN PENTADBIRAN
1.JURUTERA (J41)
2.PENOLONG PEGAWAI BELIA DAN SUKAN (S29)
3.PEGAWAI EKSEKUTIF (N29)
4.PEMBANTU KESELAMATAN (KP19)
5.PEMBANTU PUSTAKAWAN (S19)
6. PEMBANTU TADBIR KEWANGAN (W19)
7.PEMBANTU SETIAUSAHA PEJABAT (N19)
8.PEMANDU (H11)
Mengisi borang permohonan secara dalam talian dan maklumat jawatan terperinci boleh diperolehi dengan melayari laman sesawang UiTM Cawangan Sarawak di http:// sarawak.uitm.edu.my/
TARIKH TUTUP permohonan adalah pada hari RABU, 26 DISEMBER 2019.
IKLAN DIBUKA : RABU, 11 DISEMBER 2019

Wednesday, December 4, 2019

Jangan buang kulit ayam, ia ada khasiat - Kajian

MUNGKIN sebelum ini anda sering mendengar bahawa kulit ayam sangat tidak sihat untuk dimakan.

Selain dikatakan mempunyai banyak lemak, ia juga sering dianggap boleh meningkatkan tahap kolesterol dan menyebabkan masalah kesihatan seperti darah tinggi dan penyakit jantung.

Disebabkan itu juga, ramai yang memilih untuk menyingkirkannya daripada menu, terutamanya bagi mereka yang ingin menjaga berat badan.

Terkini, menurut laporan portal kesihatan stethnews.com, kajian yang dijalankan beberapa pakar kesihatan di Universiti Harvard mendapati kulit ayam sebenarnya tidak menyebabkan sebarang masalah kesihatan terutamanya terhadap jantung.

Katanya, bahagian kulit yang sering dibuang itu sebenarnya mempunyai banyak khasiatnya, malah bagus untuk jantung anda!

Lemak kulit ayam, menurut laporan pakar itu, tergolong dalam kategori tidak tepu dan lemak jenis ini mampu mengurangkan tekanan darah tinggi dan paras kolesterol yang buruk, disebabkan hormon seseorang.

Selain itu, kalori dalam kulit ayam juga tidak terlalu tinggi sehingga boleh menyebabkan kegemukan.

Antara lain, kebaikan kulit ayam adalah ia sangat lazat dan anda tidak perlu menambah banyak garam untuk menjadikannya lebih sedap.

Tambahan pula, kulit ayam juga boleh berfungsi sebagai penghalang kepada minyak daripada terus menyerap ke dalam daging ayam yang dimasak.

Tuesday, November 26, 2019

PSP tidak dilaksanakan di Sarawak, Sabah dan Labuan, rakyat tetap nikmati RON95 RM2.08 seliter

KUCHING: Rakyat Sarawak, Sabah dan Labuan dikecualikan dalam pelaksanaan Program Subisidi Petrol (PSP) yang akan dilaksanakan bermula 1 Januari 2020.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, PSP hanya dikuatkuasa di Semenanjung sahaja yang bakal meringankan beban kira-kira 2.9 juta penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) yang memiliki berkenderaan.
Jelasnya, rakyat di Sabah, Sarawak dan Labuan akan menikmati subsidi petrol secara pukal iaitu pada harga runcit semasa RM2.08 seliter setelah kerajaan mengambil kira keperluan yang kebanyakannya menggunakan kenderaan berkapasiti enjin besar dan diesel.
"Oleh itu, rakyat Sabah, Sarawak dan Labuan dikecualikan daripada pelaksanaan PSP dan pengapungan harga jualan runcit petrol RON95," katanya dipetik dalam laporan Bernama pada sidang media mengenai PSP di Putrajaya hari ini.
Mengulas lanjut PSP, Saifuddin Nasution berkata, kadar subsidi adalah sebanyak RM30 sebulan bagi kereta dan RM12 sebulan bagi motosika.

Tambahnya, berikutan pelaksanaan PSP pada 1 Januari 2020, harga petrol RON95 akan diapungkan bermula serentak.
"Penyelasaran harga RON95 akan diapung secara berperingkat dan tidak akan membebankan pengguna," katanya.
Saifuddin Nasution menjelaskan subsidi petrol sedia adalah secara pukal yang dinikmati semua orang tanpa mengira kerakyatan dan pendapatan, akan diubah kepada golongan sasar yang layak, iaitu warganegara Malaysia berpendapatan rendah yang sangat memerlukan bantuan tersebut.
Menurutnya, penerima BSH boleh menyemak kelayakan mereka di laman web psp.kpdnhep.gov.my bermula 15 Okt ini.

"Bagi mereka yang namanya tidak ada dalam senarai penerima namun merasakan mereka layak berdasarkan kriteria yang diberikan boleh membuat rayuan secara atas talian di laman web yang sama bermula 15 Okt," katanya.

Ditanya adakah penerima PSP akan terus menikmati subsidi tersebut sekiranya harga minyak dunia turun, Saifuddin Nasution berkata : "Sekiranya harga minyak stabil pada bulan Januari dan Februari dan jatuh menjunam pada Mac dan April, bayaran PSP akan tetap dilaksanakan pada April."
 
Dengan tanggungan pelaksanaan PSP sebanyak RM65.4 juta sebulan, beliau berkata, kerajaan akan menyalurkan bantuan tunai yang akan dikreditkan terus ke akaun penerima setiap empat bulan sekali dengan bayaran pertama akan dibuat pada April 2020.
"Kriteria penerima PSP adalah merupakan penerima BSH di Semenanjung Malaysia yang memiliki kenderaan atas nama sendiri dan cukai jalan yang sah,”katanya.
Menghuraikannya, Saifuddin Nasution berkata, penerima PSP perlu memenuhi kriteria pemilikan kenderaan yang telah ditetapkan iaitu kereta 1600cc dan ke bawah dan bagi kereta melebihi 1600cc, ia berumur 10 tahun dan ke atas.
Kategori motosikal yang layak pula ialah motosikal 150cc dan ke bawah dan motosikal melebihi 150cc yang berumur tujuh tahun dan ke atas, katanya.
"Individu yang mempunyai lebih daripada satu kenderaan hanya layak menerima subsidi untuk satu kenderaan sahaja mengikut kadar yang lebih tinggi," ujarnya.
Namun, katanya jika harga terus menjunam maka perkara itu akan dibincangkan secara lanjut oleh kerajaan.
Ditanya adakah golongan M40 akan turut dimasukkan sebagai penerima PSP di masa akan datang, beliau berkata : "Jika ditanya apa dalam pemikiran, saya ingin memperluaskan PSP kepada  M40. Saya akan mengutarakan perkara ini dalam mesyuarat kabinet akan datang."
Mengenai kegusaran orang ramai berlakunya kenaikan harga barang dengan pelaksanaan PSP itu, Saifuddin Nasution berkata 2,300 pegawai pemantau harga akan meningkatkan aspek pemantauan bagi mengekang perkara itu.
"Orang ramai juga boleh melaporkan aduan kepada KPDNHEP melalui talian 1800-886-800, aplikasi telefon pintar EzADU, portal e-aduan dan whatsapp KPDNHEP 019-2794 317 atau hadir ke mana-mana pejabat KPDNHEP yang terdekat," katanya. 

Dapatkan 'Hello Kitty Carrier' Yang Comel Ini Di McDonald's Bermula Dari 27 November 2019!




Baru-baru ini, Hello Kitty Carrier ini telah habis dijual di setiap cawangan McDonald's di Singapura selama satu hari sahaja tau!
Kini, anda sendiri juga berpeluang untuk mendapatkan barang limited edition ini di semua cawangan McDonald's di Malaysia.
Dengan adanya Hello Kitty Carrier ini, bolehlah anda mengurangkan kadar penggunaan plastik anda. Memang berguna untuk jangka masa yang panjang!
Dapatkan Hello Kitty Carrier ini untuk RM29.90 sahaja di semua cawangan McDonald's. Hanya untuk masa yang terhad tau!



Wednesday, November 13, 2019

Bonus 2 Bulan Atau Minima Rm2000 Untuk Penjawat Awam Sarawak 2019


Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini mengumumkan bonus dua bulan gaji pokok atau minimum RM2,000 kepada kakitangan awam negeri Sarawak yang akan dibayar sebelum hujung tahun ini.

Bonus yang diumumkan oleh Ketua Menteri Sarawak sebentar tadi adalah lebih tinggi dari tahun lepas.
Tahun lepas, Kerajaan Sarawak mengumumkan bonus sebanyak sebulan setengah atau minima RM2000.

Saturday, October 12, 2019

Tun Taib tokoh banyak berjasa kepada Sarawak, negara

MIRI:  Datuk Patinggi Abang Johari  Tun Openg menyifatkan Yang di-Pertua Negeri Tun  Abdul Taib Mahmud sebagai tokoh kepemimpinan yang banyak berjasa kepada negeri dan negara.
Jelasnya, semenjak Sarawak diberi kuasa pemerintahan sendiri pada Julai 1963 dan penubuhan Malaysia 56 tahun lalu, Tun Taib telah menunjukkan keupayaan memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat yang berbilang bangsa, keturunan dan pegangan agama di Sarawak.
“Perpaduan rakyat Sarawak telah lama dipupuk dan diperkukuhkan di bawah kepimpinan Tun Taib selama tempoh Tun menjadi Ketua Menteri Sarawak dari tahun 1981 hingga 2014,” katanya.
Tun Taib menjadi Ketua Menteri selama 33 tahun dari 1981 hingga 2014 sebelum dilantik ke jawatan sekarang.
Beliau berkata demikian pada Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Ke-83 Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di Stadium Miri, semalam.
“Malah, beliau  juga telah menunjukkan ketokohan sebagai pemimpin kerajaan yang bersifat ‘visionary’ dalam usaha membawa pembangunan jangka panjang kepada Sarawak dan rakyatnya dengan program perindustrian yang menggunakan sumber tenaga yang boleh diperbaharui,” katanya lagi.
“Sempena dengan sambutan hari jadi ke-83 Tun Taib, kita berdoa agar Allah SWT sentiasa memelihara keselamatan dan kesihatan Tun dan Toh Puan dan terus menjadi payung keharmonian dan kemakmuran Negeri Sarawak,” katanya.
Ketua Menteri berkata, kehadiran masyarakat di sekitar Miri pada sambutan itu melambangkan perpaduan dan penyatuan rakyat Sarawak tidak kira bangsa dan agama. -SarawakVoice

Tuesday, September 17, 2019

Kualiti udara Sri Aman sangat tidak sihat

KUCHING: Sri Aman mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sangat tidak sihat setakat 8 pagi tadi.
Menurut aplikasi MyIPU Jabatan Alam Sekitar (JAS), stesen Sri Aman mencatatkan bacaan tertinggi iaitu IPU
Bagaimanapun ia merupakan penurunan berbanding pukul 2 pagi tadi dimana Sri Aman mencatatkan bacaan IPU 315 iaitu tahap berbahaya.
Pada Selasa, Sri Aman mencatatkan IPU tertinggi sehingga mencecah hampir 400 bacaan IPU.
Sementara itu, sembilan kawasan di negeri ini mencatatkan bacaan indeks udara tidak sihat setakat 8 pagi.
Antaranya Kuching mencatatkan IPU 173, Sibu (166), Sarikei (157), Samarahan (154), Mukah (137), Miri (125), Bintulu serta ILP Miri masing-masing (120) dan Samalaju (102).
Manakala tiga kawasan menunjukan bacaan IPU sederhana iaitu SK Kuala Baram dengan IPU 90, Limbang (85) dan Kapit (76).
Bacaan IPU antara 0 dan 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).
Dalam pada itu Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak menerusi kenyataan berkata JAS mengesan sebanyak 17 titik panas di negeri ini, setakat 12 tengah malam, tadi.
Daripada jumlah itu, enam titik panas dikesan di Sri Aman, tiga dikesan di Lubok Antu manakala masing-masing dua titik panas dikesan di Belaga dan Marudi.
Sementara itu satu titik panas dikesan masing-masing di Bau, Kapit, Lundu dan Saratok.
Selain itu sebanyak 452 titik panas dikesan di Kalimantan dan 243 dikesan di Sumatera.

Sunday, September 15, 2019

SJN FC Juara Karnival Bola Sepak 9 sebelah Piala Adun N16 Muara Tuang 2019


Pasukan pilihan SJN FC yang dibarisi beberapa bekas pemain bintang tempatan menepati ramalan menjuarai Karnival Bola Sepak Veteran 9 Sebelah Piala Adun N16 Muara Tuang setelah menewaskan Pasukan MARR SC dengan jaringan 2-0,manakala ketiga bersama dimiliki oleh pasukan SSC FC dan Veteran Cops,saingan final berlangsung di Stadium Mini Kota Samarahan yang telah dirasmikan oleh Adun N16 Muara Tuang Y.B Dato Hj Idris Bin Hj Buang

Wednesday, September 11, 2019

Indonesia dakwa jerebu di Kuala Lumpur berasal dari Sarawak


Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia, Siti Nurbaya, mendakwa bahawa jerebu yang menyelubungi Kuala Lumpur berasal dari Sarawak.
"Ada informasi yang dia tidak buka. Kerana sebetulnya asap yang masuk ke Malaysia, ke Kuala Lumpur, itu dari Sarawak kemudian dari Semenanjung Malaya (Malaysia), dan juga mungkin sebagian dari Kalimantan Barat.
“Seharusnya pemerintah Malaysia objektif menjelaskannya," katanya yang dipetik oleh Tempo.co.
Siti Nurbaya membuat dakwaan itu di sebalik pengesanan Pusat Meteorologi Khas Asean (ASMC) yang menunjukkan bahawa jerebu di Semenanjung Malaysia berasal dari Sumatra manakala jerebu di Sarawak pula berasal dari Kalimantan.
Pengesanan ASMC, yang berdasarkan data dari Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) Amerika Syarikat tidak menunjukkan sebarang jerebu yang merentas Laut China Selatan antara Malaysia Timur dan Barat.
Pengesanan sehingga semalam, menunjukkan titik panas yang meluas di Sumatera dan Kalimantan dengan kesan jerebu yang teruk tertumpu di kedua-dua wilayah itu.
Siti berkata beliau akan menulis kepada Malaysia supaya memastikan negara ini mendapat gambaran yang betul.
"Saya akan menulis surat kepada duta besar Malaysia di Jakarta untuk diteruskan (disampaikan) kepada menterinya. Jadi, saya kira supaya yang betul datanya.
“Pemerintah Indonesia sudah betul-betul secara sistematik mencuba menyelesaikan ini dengan sebaik-baiknya. Tidak semua kabut asap (jerebu) berasal dari wilayah Indonesia," katanya.
Semalam, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin mengulangi kebimbangan negara mengenai masalah jerebu rentas sempadan semasa pertemuan dengan Menteri Penasihat Kedutaan Indonesia Agus Badrul Jamal dan Kaunselor Penerangan dan Sosial Budaya Agung Cahaya Sumirat.

Tuesday, September 10, 2019

Iphone 11 dan Iphone Pro Max Mula Diperkenalkan

Bersama-sama pengenalan iPhone 11, pihak Apple turut mengemaskini dua lagi telefon pintar dengan ciri-ciri mercu melalui pengenalan iPhone 11 Pro dan juga iPhone 11 Pro Max. Kedua-duanya menawarkan spesifikasi yang lebih kurang sama, tetapi dengan penambah-baikkan pada bahagian kamera, dan penawaran memfokuskan pengguna profesional.
Apple iPhone 11 Pro
iPhone 11 Pro hadir dengan skrin bersaiz 5.8-inci, sementara iPhone 11 Pro Max pula hadir dengan skrin bersaiz 6.5-inci. Kedua-duanya menggunakan rekaan bertakuk, dan menggunakan skrin OLED bersama-sama dengannya. Seperti biasa, ia turut menawarkan sokongan HDR, selain mana menawarkan pencahayaan dan pewarnaan yang lebih jitu.
iPhone 11 Pro
Melengkapkan iPhone 11 Pro dan 11 Pro Max adalah penggunaan cip Apple A13 Bionic, yang mana kini lebih 20% berkuasa berbanding A12 tahun lepas. Apple turut memperlihatkan yang mana cip yang digunakan pada iPhone kali ini mendahului pelbagai cip daripada pesaing lain dipasaran, selain memudahkan lagi urusan pembelajaran mesin pada peranti.
Apple iPhone 11 Pro
Pada bahagian kamera, ia kini menggunakan kamera utama 12MP, kamera telefoto 12-megapixel, dan juga kamera ultra-lebar 12-megapixel. Penggunaan tri-kamera pada bahagian belakang adalah pertama kali digunakan, dan Apple menjanjikan hasil rakaman video dan gambar yang lebih cantik menggunakannya. Malah Apple turut menjanjikan ciri rakaman gambar baru yang akan ditawarkan melalui kemaskini perisian tidak lama lagi untuk merakamkan gambar berkualiti dengan mudah.
Dari segi penawaran bateri pula, Apple mengatakan iPhone 11 Pro menawarkan masa penggunaan lebih 4 jam berbanding iPhone XS sebelum ini. Sementara iPhone 11 Pro Max pula menjanjikan lebihan penggunaan selama 5 jam berbanding XS Max sebelum ini. Menariknya juga, kini Apple menyertakan pengecas pantas 18W bersama-sama pembelian iPhone.
iPhone 11 Pro
Di Malaysia, iPhone 11 Pro dan iPhone 11 Pro Max akan ditawarkan dalam pilihan storan 64GB, 256GB dan 512GB, Ia akan ditawarkan pada harga bermula RM4899 untuk iPhone 11 Pro, sementara model iPhone 11 Pro Max akan ditawarkan pada harga bermula RM5299.

Monday, September 9, 2019

Jerebu Sarawak: Sekolah diarah tutup jika IPU lebih 200


KUCHING: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak mengarahkan semua sekolah yang berada di dalam kawasan atau daerah harus ditutup dengan serta-merta jika bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200.
Menurut Jabatan menerusi satu kenyataan, pengetua dan guru besar perlu memaklumkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) tentang penutupan sekolah.
"Pembukaan semula sekolah adalah bergantung kepada bacaan IPU bawah 200," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bacaan IPU antara 0 dan 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).
JPN Sarawak berkata, bagaimanapun semua jenis peperiksaan termasuk peperiksaan awam harus diteruskan
"Namun, Lembaga Peperiksaan akan menangguhkan peperiksaan kepada tarikh yang akan ditetapkan jika berlaku jerebu yang bacaan IPU mencecah 300 berdasarkan Surat Pekelilling  Persediaan menghadapi Jerebu  yang mengancam Perjalanan Peperiksaan Bil. 1/2015: Operasi Topeng," tambah kenyataan itu.
Sehubungan itu, JPN Sarawak menasihatkan murid-murid supaya memakai penutup hidung dan mulut dan minum air kerap.
"Bagi ibu bapa  yang bimbangkan kesihatan anak-anak, mereka dibenarkan untuk tidak menghantar anak-anak ke sekolah tetapi pihak sekolah perlu dimaklumkan akan hal ini," tambah kenyataan itu.
Ujarnya kenyataan itu lagi, pihak sekolah dan ibu bapa diminta supaya sentiasa mengikuti perkembangan semasa laman portal Jabatan Alam Sekitar (JAS) di alamat http//apims.doe.gov.my mengenai fenomena jerebu di  kawasan atau daerah masing-masing sebelum mengambil sebarang tindakan.

Sunday, September 8, 2019

Jerebu: Kuching antara 3 kawasan di Sarawak dikesan 'sangat tidak sihat'






KUALA LUMPUR: Tujuh kawasan di Semenanjung Malaysia mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara tidak sihat iaitu melebihi 101 setakat pukul 6 pagi ini.

Berdasarkan laman sesawang Indeks Pencemaran Udara Malaysia, tujuh kawasan itu merangkumi Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan.

Kawasan Kuala Lumpur meliputi Batu Muda (107) dan Cheras (104), manakala Selangor pula di Petaling Jaya (108), Shah Alam (101) dan Johan Setia (158).

Manakala di Putrajaya dan Nilai, Negeri Sembilan mencatatkan bacaan IPU pada 103 dan 107.
Sementara itu, tiga kawasan di Sarawak mencecah bacaan IPU sangat tidak sihat yang melebihi 201 antaranya ialah Sarikei (210) , Sri Aman (234) dan Kuching (239).

Bacaan IPU tidak sihat pula dikesan di Miri (156), Bintulu (102), Mukah (128), Sibu (176) dan Samarahan (196).

Monday, August 26, 2019

Pilihan telefon pintar terbaik di bawah RM600 tahun 2019

Intro

Apabila bercakap sebuah telefon pintar yang mempunyai fungsi-fungsi menarik seperti pengimbas cap jari, dwikamera, skrin telefon beresolusi HD plus, dan bateri berkapasiti besar, pasti ramai menganggap telefon tersebut merupakan sebuah telefon yang mahal

Ia mungkin benar. Namun siapa sangka kini, terdapat banyak telefon pintar berharga bawah RM600, memiliki fungsi tersebut. Ia sekali gus memberikan pengguna pengalaman lebih lengkap di telefon pintar dengan harga yang mampu milik.

Kali ini, SoyaCincau ingin membawa pembaca 10 telefon pintar terbaik dengan harga bawah RM600. 10 telefon pintar yang berjaya melayakkan diri mereka ke dalam kategori kali ini ialah:
  • Samsung Galaxy M10
  • Huawei Y5 2019
  • Nokia 3.2
  • Vivo Y91C
  • Xiaomi Redmi 7
  • Honor 8C
  • Nokia 4.2
  • Oppo A5s
  • Realme 3
  • Vivo Y93
Diantara kesemua telefon tersebut, yang manakah menjadi pilihan berbaloi untuk anda miliki dengan harga kurang dari RM600? Ikuti analisis kami di halaman seterusnya.
Sumber: Soya Cincau

Sunday, August 25, 2019

Perodua Bezza sub-1.0liter sedan baru paling laris di Sri Lanka

Perodua Bezza muncul kereta sub-1.0 liter sedan baharu paling laris di Sri Lanka manakala sepanjang tujuh bulan pertama 2019, model itu mengetuai kelas sub-1.0 liter jualan kereta baharu pelbagai model.
Dijual pada harga Rs3.69 juta (RM86,200) semasa pelancarannya pada Jun 2017, Perodua Bezza dimiliki kira-kira 1,500 pembeli Sri Lanka sehingga kini, meletakkannya antara model jualan paling laris yang pernah ditawarkan Perodua di sana, bersama kira-kira 3,000 unit Perodua Axia sejak 2015, katanya dalam kenyataan hari ini.
"Sri Lanka ialah pasaran luar negara terbesar Perodua, dengan pengedar tempatan Unimo Enterprises menjual lebih daripada 15,600 kereta Perodua sejak 1997," katanya.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata Perodua akan terus menyokong pengedar di luar negara memandangkan syarikat itu merancang untuk meluaskan pasaran ke Asia Pasifik.
"Kami bekerja rapat dengan Unimo bagi menyediakan pengetahuan mengenai produk serta latihan teknikal kepada kakitangan jualan dan perkhidmatan mereka. Justeru, pelanggan Sri Lanka yang kami hargai diberikan jaminan bahawa Bezza dan Axia mereka akan sentiasa dijaga dengan baik," katanya.
Perodua mahu mengeksport 3,270 kereta tahun ini - 50 peratus lebih tinggi daripada 2,184 unit tahun lepas.
- Bernama

Bayaran fasa ketiga BSH 2019 mulai Rabu



KUALA LUMPUR: Pembayaran fasa ketiga Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 akan dikreditkan terus ke akaun bank dengan menggunakan maklumat akaun bank yang digunakan semasa pembayaran fasa kedua sebelum ini, mulai Rabu (28 Ogos).
Menurut satu kenyataan Kementerian Kewangan hari ini, pembayaran itu melibatkan peruntukan RM1.23 bilion dan memanfaatkan hampir 3.6 juta penerima BSH.
Perincian nilai BSH 2019 bagi fasa ketiga yang diterima oleh isi rumah yang diluluskan mengikut pendapatan bulanannya adalah RM400 (pendapatan bulanan isi rumah RM2,000 ke bawah); RM300 (pendapatan bulanan isi rumah RM2,001 hingga RM3,000) dan RM100 bagi pendapatan bulanan isi rumah RM3,001 hingga RM4,000.
Sejumlah RM2.85 bilion telah disalurkan bagi bayaran fasa pertama (Januari 2019) dan kedua (Mei 2019) kepada isi rumah yang diluluskan, termasuk bayaran kadar tambahan RM120 bagi setiap orang anak tanggungan terhad kepada maksimum empat orang anak.
Menurut kenyataan itu, anak tanggungan merujuk kepada anak berumur 18 tahun dan ke bawah dan juga anak orang kurang upaya (OKU) tanpa had umur.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh dikemukakan dengan menghubungi talian bebas tol 1-800-88-2747 serta e-mel kepada bsh@treasury.gov.my.
BSH adalah program kerajaan demi kesejahteraan ekonomi rakyat, dengan membantu golongan berpendapatan rendah (B40) meringankan kos sara hidup mereka. - Bernama 

Polis percaya kes berhampiran Taman Kopodim, bukan culik tapi lari dari rumah


Suasana di Balai Polis Gita pada petang tadi ketika laporan kes culik dibuat.

KUCHING: Kes kanak-kanak perempuan dan ibu saudaranya yang dikatakan diculik dua individu tidak dikenali menggunakan sebuah van berwarna putih dalam satu kejadian di simpang Kopodim, Jalan FAC di Matang, hari ini sebenarnya lari dari rumah. 

Perkara itu disahkan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Dev Kumar dalam satu kenyataan sebentar tadi. 
"Kejadian culik yang dinyatakan dalam laporan polis tidak berlaku. Tidak ada van putih atau lelaki bertopeng. Cerita direka.
"Polis percaya bahawa laporan polis yang dibuat pengadu adalah palsu. Bukan kes penculikan. Kita ada sebab untuk mempercayai bahawa dua kanak-kanak itu telah melarikan diri," katanya dalam satu kenyataan sebenar tadi. 
Terdahulu, pengadu yang merupakan ibu saudara kanak-kanak terbabit melaporkan anak saudaranya, 10, dan adik perempuannya, 17, dikatakan dilarikan dua individu bertopeng yang tidak dikenali menggunakan van putih. 
Kejadian itu dikatakan berlaku sekitar pukul 3.15 petang.
Ekoran kejadian yang didakwa pengadu itu, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Gita.

Sumber: Utusan Borneo

Wednesday, August 14, 2019

7 Cara Mengatasi Bahaya Jerebu Kepada Kesihatan


Masalah jerebu adalah satu fenomena di mana persekitaran kita dipenuhi oleh habuk, debu halus, asap dan zarah-zarah kering yang terapung di dalam ruang udara. Keadaan ini menyebabkan keterbatasan penglihatan dari segi kualiti dan jarak penglihatan.
Bahaya-Jerebu
Bergantung kepada tahap pencemaran udara di satu-satu tempat, jerebu boleh menyebabkan gangguan terhadap pelbagai aktiviti fizikal dan juga mendatangkan ancaman terhadap kesihatan individu.
Apakah masalah kesihatan yang boleh terjejas akibat jerebu ini dan siapakah yang berpotensi mendapat risiko kesan yang lebih buruk? Juga ketahui apakah cara untuk mengatasi bahaya jerebu kepada kesihatan.

Fenomena Jerebu Di Malaysia

Fenomena jerebu kini datang lagi menyelubungi Malaysia. Situasi jerebu biasanya berlaku di antara bulan Mei sehingga Oktober. Kebakaran hutan dalam skala yang besar di negara jiran merupakan antara punca yang dikenalpasti penyebab kejadian jerebu ini berlaku.
Ditambah pula dengan faktor angin monsun barat daya yang membawa asap jerebu dengan begitu cepat melintasi sempadan laut Selat Melaka untuk membelenggu kawasan sekitar yang berhampiran dengan pesisir laut.
       Rekod Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang pernah dicatatkan tertinggi di Malaysia adalah pada tahun 1997, iaitu bacaan 839 di Kuching, Sarawak dan 746 di Muar, Johor. Hanya 6% sahaja kawasan mencatatkan kualiti udara yang baik di seluruh Malaysia pada ketika itu.
Namun situasinya berbeza bagi musim 2015 ini. Berikut adalah Indeks Pencemaran Udara (IPU) bagi beberapa negeri semenanjung setakat 12/9/2015:
Indeks-Jerebu
Sumber Rujukan : Portal Kementerian Sumber Asli & Alam Sekitar
Walaupun keadaan jerebu masih terkawal sehingga hari ini, ditambah pula dengan musim hujan; namun kesannya tidaklah boleh diambil ringan. Jika langkah mengatasi tidak diambil tindakan sewajarnya, kesan negatif terhadap kesihatan pastinya boleh mengganggu.

Apakah Tanda-tanda Atau Gejala akibat Jerebu ?

Apabila terdedah kepada jerebu dalam jangka masa panjang, kita boleh mengalami beberapa tanda atau gejala gangguan kesihatan seperti:
  • Mengalami iritasi kulit sepeti kerengsaan atau kegatalan pada badan
  • Gangguan pada hidung seperti berair, kerap bersin dan selesema
  • Sakit tekak dan kerongkong serta batuk-batuk
  • Mata pedih dan berair
  • Sukar untuk bernafas atau sesak nafas
  • Sakit pada bahagian dada atau mengalami kelesuan
Gejala ini mungkin lebih membawa kesan buruk bagi mereka yang:
  • Menghidap penyakit masalah kulit seperti kulit sensitif, ekzema, alergi dan lain-lain
  • Menghidap masalah penyakit kronik yang berkaitan sistem pernafasan seperti asma, bronkitis, radang paru-paru dan paru-paru berair
  • Menghidap masalah sakit jantung dan sistem kardiovaskular
  • Ibu mengandung serta bayi dalam kandungan yang mungkin terjejas akibat agen pencemaran udara yang terserap di dalam tubuh
Justeru, anda digalakkan untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan doktor dengan segera jika mengalami tanda-tanda atau gejala yang tersebut di atas.

7 Cara Mengatasi Bahaya Jerebu Kepada Kesihatan

Sebagai langkah pencegahan dan persediaan untuk menghadapi musim jerebu, kita digalakkn untuk:
  1. Sentiasa berada di kawasan tertutup atau dalam bangunan seperti dalam rumah atau pejabat
  2. Jika terdapat keperluan untuk keluar atau berada di tempat terbuka seperti bekerja atau aktiviti di luar bangunan dan juga menunggang motorsikal, pastikan memakai penutup hidung dan mulut (haze mask)
  3. Sentiasa tutup semua pintu dan tingkap bagi mengelak kemasukan asap jerebu ke dalam rumah kediaman atau ruang pejabat. Jangan ditambah pula dengan kehadiran asap rokok atau vape!
  4. Pasangkan penghawa dingin untuk membantu kitaran pengudaraan dalam kenderaan.
  5. Jika terdedah kepada jerebu, kerap basuh muka dan anggota badan yang terkena dengan air bersih
  6. Perbanyakkan meminum air kosong sekurang-kurangnya 8 gelas sehari bagi mengatasi dehidrasi, memudahkan proses perkumuhan dan detoksifikasi dalaman tubuh
  7. Bantu kekuatan antibodi dengan mengamalkan pemakanan kesihatan termasuk suplemen vitamin dan mineral yang diperlukan
Bahaya Jerebu Kepada Kesihatan