Monday, September 9, 2019

Jerebu Sarawak: Sekolah diarah tutup jika IPU lebih 200


KUCHING: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak mengarahkan semua sekolah yang berada di dalam kawasan atau daerah harus ditutup dengan serta-merta jika bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200.
Menurut Jabatan menerusi satu kenyataan, pengetua dan guru besar perlu memaklumkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) tentang penutupan sekolah.
"Pembukaan semula sekolah adalah bergantung kepada bacaan IPU bawah 200," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bacaan IPU antara 0 dan 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).
JPN Sarawak berkata, bagaimanapun semua jenis peperiksaan termasuk peperiksaan awam harus diteruskan
"Namun, Lembaga Peperiksaan akan menangguhkan peperiksaan kepada tarikh yang akan ditetapkan jika berlaku jerebu yang bacaan IPU mencecah 300 berdasarkan Surat Pekelilling  Persediaan menghadapi Jerebu  yang mengancam Perjalanan Peperiksaan Bil. 1/2015: Operasi Topeng," tambah kenyataan itu.
Sehubungan itu, JPN Sarawak menasihatkan murid-murid supaya memakai penutup hidung dan mulut dan minum air kerap.
"Bagi ibu bapa  yang bimbangkan kesihatan anak-anak, mereka dibenarkan untuk tidak menghantar anak-anak ke sekolah tetapi pihak sekolah perlu dimaklumkan akan hal ini," tambah kenyataan itu.
Ujarnya kenyataan itu lagi, pihak sekolah dan ibu bapa diminta supaya sentiasa mengikuti perkembangan semasa laman portal Jabatan Alam Sekitar (JAS) di alamat http//apims.doe.gov.my mengenai fenomena jerebu di  kawasan atau daerah masing-masing sebelum mengambil sebarang tindakan.

No comments:

Post a Comment