Wednesday, May 8, 2019

Liverpool jumpa Spurs di final Liga Juara-Juara Eropah

AMSTERDAM: Jaringan hatrik Lucas Moura membawa Tottenham Hotspur ke final Liga Juara-Juara buat pertama kali dalam sejarah kelab apabila menewaskan Ajax 3-2 di gelanggang lawan, awal pagi tadi.
Kemenangan pada aksi separuh akhir kedua di Arena Johan Cyruff itu menyaksikan kedudukan agregat terikat 3-3 tetapi Spurs menempah aksi final menentang Liverpool di Madrid menerusi kelebihan jaringan di tempat lawan.
Gergasi Belanda, Ajax tampak berada di laluan untuk ke final apabila mendahului 2-0 sebelum rehat tetapi pelawat menyamakan kedudukan pada babak kedua sebelum Lucas melengkapkan hatriknya pada masa kecederaan bagi membawa skuad kendalian Mauricio Pochettino itu ke final.
Jaringan itu menyaksikan Tottenham memerlukan keajaiban sama seperti dilakukan Liverpool ketika menewaskan Barcelona di Anfield, semalam tetapi dengan jurang masa lebih terhad.
Mengikuti semangat tidak kenal erti mengalah Reds, Spurs menjaringkan gol pertama pada minit ke-55 berpunca daripada umpanan Dele Alli.
Mereka kemudian menyamakan kedudukan empat minit kemudian apabila tampanan penjaga gol Andre Onana berpunca daripada cubaan Fernando Llorente berjaya disambut oleh Lucas dan penyerang Brazil itu membuktikan ketajamannya apabila meledak gol kemenangan dramatik pada masa kecederaan bagi mengesahkan kemaraan Spurs.
AJax kendalian Erik ten Hag, yang sudah pun melakar beberapa kejutan termasuk menyingkirkan penyandang juara Real Madrid dan juara Itali, Juventus yang dikuatkan dengan Cristiano Ronaldo musim ini tetap menerima tepukan gemuruh peminat mereka selepas perlawanan berakhir. - AFP

No comments:

Post a Comment