Tuesday, May 28, 2019

2 minggu bercerai, Aliff Aziz nak rujuk semula?

Setelah hampir dua minggu bercerai, pelakon dan penyanyi Aliff Aziz memberi bayangan ingin rujuk kembali bersama bekas isterinya, Bella Astillah.
"Ya Allah satukanlah jodoh kami.
“Seandainya dia bukan jodohku, jadikanlah aku jodohnya," kata Aliff menerusi ciapan di Twitter, semalam.
Walaupun tidak menyebut secara khusus, segelintir warganet percaya doa Aliff ditujukan buat bekas isterinya itu.
Aliff bagaimanapun tidak menjelaskan secara lanjut berkenaan perkara itu, dan telah memadam ciapan tersebut.

Pada 16 Mei, Aliff dan Bella sah bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur susulan kontroversi mendakwa penyanyi kelahiran Singapura itu sering curang.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Mohamad Ayden Adrean yang kini berusia dua tahun.
Sementara itu, Aliff juga dilihat meluahkan perasaan rindu terhadap anak tunggalnya, Mohamad Ayden Adrean menerusi halaman Instagram miliknya beberapa hari lalu.
Memetik laporan Harian Metro, Bella atau nama penuhnya Dayang Nabellah Awang Astillah enggan memberi respons berkenaan status dimuat naik Aliff.

Friday, May 24, 2019

Bayaran BSH fasa 2 Selasa depan



Pembayaran itu dibuat kira-kira seminggu sebelum Hari Raya

Kementerian kewangan memaklumkan bahawa pembayaran fasa kedua Bantuan Sara Hidup (BSH) akan dibuat bermula Selasa (28 Mei) depan.
Ibererti, pembayaran itu dibuat kira-kira seminggu sebelum Hari Raya.

Dalam kenyataan media hari ini, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata pembayaran itu akan dimasukkan ke dalam akaun bank penerima yang layak.

Sunday, May 19, 2019

Ini Yang Anda Perlu Tahu Disebalik Pengharaman Huawei Menggunakan Android

Kerajaan Amerika Syarikat telah meletakkan Huawei Technologies Co. Ltd. sebagai syarikat yang disenarai hitamkan daripada menjalinkan hubungan perdagangan bersama A.S. Perkara ini sekaligus membuatkan semua syarikat yang berada di A.S. tidak boleh melakukan perdagangan dengan Huawei, melainkan ia menerima pengesahan daripada Kerajaan A.S. sendiri.
Menurut Reuters, perkara ini menyebabkan Google terpaksa menggantung perniagaan dengan Huawei, terutama yang melibatkan “pemindahan produk perkakasan dan perisian”. Walau bagaimanapun, pergantungan ini tidak termasuk perisian Google yang dibangunkan dengan sumber terbuka (open source).
Dalam erti kata lain, Huawei masih boleh menggunakan Android (kerana ia dibangunkan secara terbuka), cuma beberapa perkhidmatan daripada Google akan dihalang untuk digunakan. Perkara ini termasuk daripada Google Play Store, Gmail, Youtube, Maps, dan kesemua aplikasi yang bergantung kepada Google Play Services Framework.
Huawei P30
Perkara ini akan menyebabkan telefon Huawei sedia ada tidak dapat dipasang dengan kemaskini baru (seperti kemaskini sekuriti bulanan), kerana kemaskini yang tidak disahkan oleh Google akan mengagalkan usaha untuk mendapatkan pengesahan semula kepada akses Google Play Store.
Erti kata mudah, telefon Huawei sedia ada tidak akan menerima kemaskini baru, namun anda masih boleh menikmati pemasangan dan kemaskini aplikasi daripada Google Play Store seperti biasa.
Cuma untuk telefon Huawei pada keluaran akan datang, Huawei mungkin akan menggunakan versi Android tanpa perkhidmatan Google, yang mana lebih mesra dikenali sebagai Android Open Source Project (AOSP).
Android berasaskan AOSP ini masih serupa seperti Android biasa, cuma ia tidak diletakkan dengan sebarang perkhidmatan Google. Bermakna, pengguna masih boleh memasang aplikasi Android melalui gedung aplikasi alternatif (contohnya Huawei App Gallery) ataupun melalui pemasangan fail APK.
Penggunaan Android berasaskan AOSP ini sebenarnya telah banyak digunakan pada peranti di China dan sedia mempunyai jumlah penggunaan yang tinggi.
Cuma apa merisaukan, kebanyakan aplikasi popular seperti Chrome, Gmail, Youtube, dan Maps kesemuanya bergantung kepada penggunaan Google Play Services. Tanpa Google Play Services, aplikasi-aplikasi ini tidak akan dapat digunakan walaupun ia boleh dibuka pada awalnya.
Android berasaskan AOSP berjaya di China kerana penduduk di sana tidak menggunakan perkhidmatan Google atau aplikasi yang memerlukan Google Play Services. Mereka di sana sedia mempunyai alternatif kepada Youtube dan Google Maps, dengan adanya Youku dan Baidu Maps.
Walau bagaimanapun, pengguna Android berasaskan AOSP boleh memasang Play Services (mahupun Play Store) melalui proses sideloading, namun ia bukanlah cara yang ingin dilihat oleh pengguna biasa.
Sebagai persediaan, Huawei dikatakan sedang membangunkan platform alternatif, namun perkara ini bukanlah solusi yang boleh berjaya dengan serta-merta. Huawei masih memerlukan Android daripada Google kerana pengguna di luar China sangat memerlukan perkhidmatan Google dan sejumlah aplikasi yang memerlukan Google Play Services.
Pembangunan platform baru akan merugikan kos dan masa kerana ia perlu memanggil pembangun baru atau sedia ada untuk menghasilkan aplikasi. Sejarah telah membuktikannya melalui Windows Phone (atau kini Windows 10 Mobile) yang tidak berjaya hidup akibat kekurangan aplikasi.
Sekiranya sekatan ini akan terus dilaksanakan, perniagaan Huawei akan terjejas untuk di pasaran luar China. Sekatan perdagangan ini bukan hanya tertakluk pada peranti Huawei di A.S. sahaja, tetapi akan turut terkesan dengan kesemua peranti Huawei sedia ada (dan akan datang) di seluruh dunia. Bayangkan kehidupan anda tanpa Youtube dan Google Maps, itulah apa yang akan jadi sekiranya Google tanpa di dalam peranti Huawei.

Saturday, May 18, 2019

Perayaan Gawai harus dapat liputan media arus perdana - Gobind

Menteri Komunikasi Dan Multimedia Gobind Singh Deo menyokong penuh agar perayaan Hari Gawai Dayak di Sarawak diangkat ke martabat yang selayaknya dan mendapat liputan dan tempat yang berpatutan di saluran media arus perdana.
Beliau berkata dengan adanya liputan dari arus media perdana di bawah naungan Malaysia Baru, generasi muda dapat didedahkan kepada kekayaan dan kehalusan seni budaya serta adat masyarakat mereka yang mungkin jarang dapat mereka saksikan.
"Saya difahamkan bahawa masyarakat Dayak amat kaya dengan adat dan budaya yang tinggi.
"Kepelbagaian budaya dan bangsa adalah keistimewaan negara kita dan keharmonian yang terhasil daripada perpaduan rakyat berbilang kaum merupakan daya tarikan kepada warga seluruh dunia," katanya ketika merasmikan Program Pemimpin Bersama Rakyat di Lapangan Terbang Lama Bintulu di Bintulu hari ini.
Gobind berkata beliau sangat gembira dengan tema sambutan pada kali ini iaitu "Bejalai Betungkatka Adat, Tinduk Bepangalka Pengingat", yang turut dimeriahkan dengan perserta kaum Dayak dari Kalimantan Barat, Indonesia.
Gobind yang menyampaikan ucapan Selamat Hari Gawai dan juga Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada hadirin yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama berkata, rakyat Malaysia bersyukur kerana dapat meraikan perayaan mereka dalam keadaan tenteram dan harmoni di kalangan masyarakat berbilang kaum.
Menurutnya, situasi serta suasana aman dan selamat seperti itu membolehkan kerajaan menumpukan perhatian kepada program-program pembangunan negara demi mempertingkatkan taraf hidup rakyat samada dari segi ekonomi, pendidikan, infrastruktur massa, kebudayaan serta keagamaan.
Kepelbagaian budaya dan bangsa adalah keistimewaan Malaysia dan keharmonian yang terhasil daripada perpaduan rakyat berbilang kaum merupakan daya tarikan kepada warga seluruh dunia.
“Kerjasama antara kaum adalah kunci kepada kita dalam menangani dan menghadapi pelbagai ancaman dan cabaran, dan tidak harus dipandang ringan atau diperkecilkan.
Kepelbagaian rakyat Malaysia adalah sesuatu yang patut diraikan dan diperkukuhkan bersama, demi masa hadapan yang lebih cerah dan makmur,” katanya.
Sebelum itu beliau melepaskan dan menyertai lebih 3,000 peserta perarakan program ‘Ngerandang Jalai Gawai’ yang berarak sejauh 1.7km dari tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu itu ke sebahagian daripada pusat bandar Bintulu sebelum kembali ke tapak perlepasan semula.
Majlis turut diserikan dengan persembahan kebudayaan dari persatuan Dayak tempatan dan juga dari Kalimantan Barat serta pertunjukkan fesyen etnik Dayak.

— Bernama

Thursday, May 16, 2019

'Bukan kudis tapi tanam rambut' - Aliff Aziz


KESAN merah di kepala penyanyi Aliff Aziz ketika hadir prosiding perceraian dengan Bella Astillah di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur petang tadi menjadi bualan pengguna laman sosial.
Sepanjang sesi siaran langsung di Facebook Harian Metro, ramai menulis komen dan membangkitkan perkara itu.
Ada antaranya membuat andaian kepala Aliff berkudis dan terkena penyakit kulit.
Aliff, 28, ketika dihubungi berkata dia sedang menjalani proses menanam rambut.
“Ini bukan sakit atau seumpamanya, tapi saya menjalani proses tanam rambut.
“Memandangkan sebelum ini saya ada masalah rambut, jadi saya baru saja buat. Jangan risau saya tak ada apa-apa. Semuanya okay,” katanya kepada Harian Metro.
Terdahulu, Aliff melafazkan cerai talak satu terhadap Bella selepas memfailkan perceraian pada 21 Mac lalu.
Aliff dan Bella mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Mohamad Ayden Adrean yang kini berusia dua tahun.

Bantuan khas RM450 sempena Aidilfitri


BERITA dinanti akhirnya kunjung tiba buat 1.5 juta penjawat awam di seluruh negara apabila kerajaan hari ini mengumumkan agihan Bantuan Khas Kewangan RM450 bagi Gred 56 dan ke bawah sebagai persedian menyambut Aidilfitri.
Selain itu, bantuan khas sebanyak RM225 turut diberikan kepada hampir 800,000 pesara kerajaan di seluruh negara.
Berita baik itu diumumkan Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, bantuan khas akan dibayar pada 24 Mei ini.
“Kerajaan bersetuju memberi Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM450 kepada hampir 1.5 juta penjawat awam dari Gred 56 dan ke bawah sebagai persediaan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri 2019.
“Bantuan khas ini juga akan turut dinikmati oleh hampir 800,000 pesara kerajaan sebagai menghargai jasa perkhidmatan dengan jumlah bayaran sebanyak RM225,” katanya.
Katanya, bayaran Bantuan Khas Kewangan kepada penjawat awam dan pesara kerajaan ini membabitkan anggaran peruntukan kewangan RM855 juta.

Wednesday, May 15, 2019

Bantuan Khas Aidilfitri Untuk Penjawat Awam persekutuan ada,akan diumumkan kemudian- Tun Mahathir

PULAU PINANG: Sambutan Aidilfitri buat penjawat awam kali ini akan lebih bermakna apabila kerajaan bakal mengumumkan pemberian bonus dalam masa terdekat.

Berita gembira itu dimaklumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Pulau Pinang pada Khamis.
Sekalipun sudah memberi jaminan bonus akan diberikan, namun Dr Mahathir tidak pula jumlah dan tarikh bayaran berkenaan akan dibuat.

“Ada, kita akan isytihar nanti,” katanya ringkas kepada wartawan selepas Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-48 di Spice Arena, Bayan Baru.

Pemberian bonus merupakan berita yang sering ditunggu-tunggu oleh penjawat awam khususnya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) sebelum ini  turut berharap kerajaan memberi bonus Aidilfitri kepada penjawat awam dan pesara.

Beberapa kerajaan negeri seperti Pulau Pinang, Kedah dan Melaka juga  sudah mengumumkan pemberian bonus kepada penjawat awam masing-masing antara RM1,000 sehingga setengah bulan gaji menjelang hari raya.

Pasar Malam Raya Belia N.6 Metro City beroperasi setiap malam 8 Mei -3 Jun 2019 sempena Ramadhan


Pasar malam Raya Belia N.6 Metro City akan beroperasi setiap malam mulai 8 Mei hingga 3 Jun 2019  sempena menyambut bulan Ramadhan,ia memudahkan pengunjung untuk membeli-belah sebagai persiapan hari Raya Aidilfitri.

Manakala Mini Bazaar Ramadhan mula beroperasi 6 Mei hingga 4 Jun 2019.


Farid Kamil dipenjara sembilan bulan

PETALING JAYA: Pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil Zahari dihukum penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas kesalahan mengguna dadah jenis ganja Tetra Hydrocannibol (THC), tahun lalu.
Hukuman itu dijatuhkan Majistret Nor Ariffin Hisham selepas Farid Kamil, 38, memilih untuk berdiam diri di mana tertuduh hari ini sepatutnya tampil untuk membela diri.
Nor Ariffin turut memerintahkan tertuduh berada di bawah pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun.
“Mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah dan mahkamah mensabitkan tertuduh bersalah,” katanya.
Dalam prosiding itu, mahkamah juga tidak membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk penangguhan pelaksanaan hukuman.
Berikutan itu Farid Kamil akan dibawa ke Penjara Kajang dan hukuman penjara itu diperintah bermula tarikh sabitan iaitu hari ini.

Tuesday, May 14, 2019

Obi Mikel kembali perkuat Super Eagles



JOHN Obi Mikel mengesahkan dia boleh kembali beraksi bersama skuad Nigeria bagi saingan Piala Negara-Negara Afrika bulan depan di Mesir, menurut pegawai pasukan Super Eagles itu.

Bekas bintang Chelsea itu kali terakhir beraksi untuk Nigeria di Piala Dunia Russia pada 2018 dan tidak terbabit dalam pusingan kelayakan pada piala negara-negara Afrika itu tahun ini.

“Mikel sudah bertemu dengan jurulatih (Gernot) Rohr di England dan mengesahkan dia akan tampil pada Piala Negara-Negara Afrika di Mesir,” kata salah seorang pegawai tinggi skuad itu.

Mikel, 32, kini beraksi bersama kelab liga kejuaraan Inggeris Middlesborough, sudah memenangi 85 kap dan menjaringkan enam gol sejak memulakan aksi sepenuhnya di peringkat antarabangsa pada 2005 menentang Libya.

Pemerhati berpendapat pengalaman dan kepimpinan dimiliki pemain itu tidak ternilai dalam pasukan yang mempunyai ramai pemain yang akan membuat kemunculan pertama dalam kejohanan itu selepas Nigeria gagal bersaing pada dua edisi sebelum ini.

Monday, May 13, 2019

Kerajaan Negeri umum Bantuan Khas Kewangan RM500 kepada Penjawat Awam Negeri Sarawak


Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk memberi 'Bantuan Khas Kewangan Tahun 2019' Sebanyak RM500.00 kepada penjawat Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak termasuk kepada mereka yang berkhidmat sebelum atau pada 31 Mei 2019.

Sunday, May 12, 2019

Manchester City Juara Liga Perdana Inggeris 2018-2019!



PIALA Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini sah milik Manchester City selepas menundukkan Brighton & Hove Albion 4-1 dalam perlawanan terakhir di Stadium AMEX, sebentar tadi.

Manchester City dinobat sebagai  juara EPL selepas mengumpul 98 mata berbanding Liverpool yang mengumpul 97 mata.

Gol-gol City dijaringkan Sergio Agüero pada minit ke-28, Aymeric Laporte pada minit ke-38, Riyad Mahrez pada minit ke-63, dan Ä°lkay GündoÄŸan pada minit ke-72.

Manakala gol tunggal Brighton pula dijaringkan oleh Glenn Murray pada minit ke-27.


Uptown Civic Centre Kuching beroperasi setiap malam mulai 24 Mei-3 Jun 2019 Sempena Hari Raya Dan Gawai


Uptown Civic Centre Kuching akan beroperasi setiap malam mulai 24 Mei-3 Jun 2019 sempena menyambut Hari Gawa,Raya,ia memudahkan pengunjung untuk membeli-belah sebagai persiapan hari Raya Aidilfitri dan Gawai

Mulai 24 Mei hingga 3 Jun 2019
Masa Operasi 6.30 Petang- 1.00 Pagi


Saturday, May 11, 2019

Anwar: PH jangan rasa selesa menang di Sandakan

PRK SANDAKAN | Presiden PKR Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada calon DAP Vivian Wong yang berjaya mempertahankan kerusi parlimen Sandakan untuk PH.
Bagaimanapun, Anwar menasihatkan gabungan itu supaya tidak merasa selesa dengan kemenangan pada pilihan raya kecil parlimen Sandakan ini.
"Kemenangan ini jelas menunjukkan rakyat masih memberi sokongan dan dokongan padu kepada Pakatan Harapan.
"Selain itu, pimpinan juga dinasihatkan untuk menggerakkan segala usaha membantu Perdana Menteri (Dr Mahathir Mohamad) dalam merealisasikan tujuh teras strategik bagi mencapai matlamat kemakmuran bersama yang diumumkan sewaktu perutusan setahun Malaysia Baru.
"Namun pimpinan PH tidak boleh merasa selesa dengan kemenangan ini sebaliknya perlu terus bekerja keras bagi memastikan taraf ekonomi rakyat terus terbela di setiap peringkat," katanya pada suatu kenyataan malam ini.
Wong mengekalkan kerusi Sandakan hari ini dengan majoriti 11,521 undi menewaskan calon PBS Linda Tsen dan tiga lagi calon bebas.
Tsen memperolehi 4,491 undi.

Thursday, May 9, 2019

Vietnam jadi kegilaan orang Malaysia menjelang Aidilfitri

Jika berkesempatan ke Ho Chi Minh, Vietnam, anda pasti terkejut melihat kelibat ramai wanita Malaysia di sana.
Ho Chi Minh menjadi salah satu destinasi membeli-belah utama bagi penduduk negara ini sejak beberapa tahun lalu, terutama menjelang musim perayaan.
Tanpa menghiraukan panas terik matahari, gelagat rakyat Malaysia yang menjinjing beg penuh berisi pakaian pastinya mencuit hati sesiapa sahaja.
Jadi tidak hairanlah apabila warga Malaysia mudah ditemui di bandar yang dahulunya dikenali sebagai Saigon itu.
Bagi Siti Zabeda Mohammad, 53, Ho Chi Minh menjadi destinasi kegemaran kerana banyak pilihan fabrik dengan harga yang murah dan berkualiti.
“Banyak kain yang menarik seperti kain sutera Vietnam, kain tenun dan bercorak yang semuanya menarik. Jadi saya rambang mata bila ke situ.
“Mereka (peniaga Vietnam) menjual kain dengan harga berpatutan. Apa yang menariknya, boleh tawar sampai saya dapat harga yang memuaskan hati.
“Jika ada masa, saya memang akan ke Ho Chi Minh sebelum Aidilfitri,” katanya yang sudah enam kali ke Vietnam.
Banyak lokasi menarik
Siti yang merupakan seorang pensyarah di universiti awam berkata, apa yang lebih menarik peniaga di Ho Chi Minh menerima matawang ringgit Malaysia (RM) untuk urusan jual beli
“Ini menjadi salah satu faktor saya tertarik untuk membeli-belah di sana,” katanya.
April lalu, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik dilapor berkata, Vietnam kini memonopoli sektor pelancongan di Asia Tenggara sejak tahun lalu.
Terdapat banyak lokasi membeli-belah yang menarik di Ho Chi Minh, antaranya  pasar Benh Thanh yang dibuka setiap hari dari jam 7 pagi hingga 11 malam.
Berikutan sambutan luar biasa dari rakyat Malaysia, pasar itu diberi nama sebagai jalan Malaysia (Malaysian Street).
Mudah beli kelengkapan Aidilfitri
Sementara itu, Shamsul Nahar Sikandar, 48 pula berkata dia berasa teruja setiap kali membeli-belah di pasar Benh Thanh.
“Di Benh Thanh terdapat banyak kedai yang menjual barang selain kain iaitu tudung, telekung, cadar dan banyak lagi.
“Senang untuk saya membeli semua kelengkapan Aidilfitri di pasar (Benh Thanh) terus,” katanya yang sudah lapan kali ke Vietnam.
Kata Shamsul, keunikan pasar tersebut terletak pada peniaga Vietnam yang fasih bertutur Bahasa Melayu.
“Peniaga di sana juga sangat ramah, jadi urusan tawar-menawar lebih mudah,” katanya yang merupakan seorang ahli perniagaan.
Tambahnya, dia juga menempah baju raya di pasar berkenaan kerana lebih cepat disiapkan iaitu dalam tempoh hanya sehari.
“Saya memang selalu beli kain dan minta mereka (peniaga Vietnam) jahit terus.
“Ini kerana baju yang saya tempah akan siap dalam masa satu hari, tidak perlu pening kepala nak tempah selepas pulang Malaysia nanti,” katanya.
Lebih untung jika dibeli rakyat Malaysia
Peniaga kain dan baju kurung di Ho Chi Minh, Aminah Abdul Halim, 36, berkata, dia mempunyai cara tersendiri untuk menarik minat rakyat Malaysia membeli-belah di kedainya.

Aminah yang merupakan peniaga hampir 10 tahun menjelaskan dia lebih peka terhadap pilihan fesyen yang digemari rakyat Malaysia.
“Saya akan jahit baju kurung mengikut fesyen orang Malaysia dengan harga berpatutan.
“Ini supaya orang (Malaysia) lebih suka memilih baju kurung di kedai saya,” katanya yang berketurunan Melayu Champa.
Aminah yang lebih dikenali sebagai Seena menjelaskan pendapatan yang diperoleh lebih lumayan apabila rakyat Malaysia berkunjung di kedainya.
“Sebelum bulan puasa (Ramadan), ramai orang Malaysia datang Vietnam. Saya memang dapat untung banyak dalam anggaran 50 peratus dari modal sendiri.
“Kain dan baju kurung memang laku, semua akan habis dijual,” katanya yang fasih bertutur bahasa Melayu.

Liverpool dapat trofi replika jika juara EPL Ahad ini

LONDON: Jika Liverpool mencipta kejutan dengan mengetepikan Manchester City untuk gelaran juara Liga Perdana Inggeris (EPL), trofi perak bakal dirangkul mereka buat kalinya pertama itu sejak 29 tahun lalu bukanlah yang asal sebaliknya sekadar replika.
Memandangkan perlawanan terakhir liga berlangsung secara serentak, trofi replika bakal tersedia di Anfield sekiranya anak buah Jurgen Klopp berjaya muncul sebagai juara.
Trofi replika sering digunakan oleh EPL khususnya di studio televisyen dan jelajah promosi. Trofi asal yang ketika ini berada di Stadium Etihad sejak tahun lalu akan dibawa ke Brighton, Ahad ini.
Pingat bagi pemenang liga juga disediakan di kedua-dua stadium dan pemain yang beraksi sekurang-kurangnya dalam lima perlawanan layak untuk menerimanya.
Liverpool muncul juara liga sebanyak 18, kali namun kali terakhir adalah pada 1990 iaitu sebelum EPL diperkenalkan. - Reuters

Wednesday, May 8, 2019

Liverpool jumpa Spurs di final Liga Juara-Juara Eropah

AMSTERDAM: Jaringan hatrik Lucas Moura membawa Tottenham Hotspur ke final Liga Juara-Juara buat pertama kali dalam sejarah kelab apabila menewaskan Ajax 3-2 di gelanggang lawan, awal pagi tadi.
Kemenangan pada aksi separuh akhir kedua di Arena Johan Cyruff itu menyaksikan kedudukan agregat terikat 3-3 tetapi Spurs menempah aksi final menentang Liverpool di Madrid menerusi kelebihan jaringan di tempat lawan.
Gergasi Belanda, Ajax tampak berada di laluan untuk ke final apabila mendahului 2-0 sebelum rehat tetapi pelawat menyamakan kedudukan pada babak kedua sebelum Lucas melengkapkan hatriknya pada masa kecederaan bagi membawa skuad kendalian Mauricio Pochettino itu ke final.
Jaringan itu menyaksikan Tottenham memerlukan keajaiban sama seperti dilakukan Liverpool ketika menewaskan Barcelona di Anfield, semalam tetapi dengan jurang masa lebih terhad.
Mengikuti semangat tidak kenal erti mengalah Reds, Spurs menjaringkan gol pertama pada minit ke-55 berpunca daripada umpanan Dele Alli.
Mereka kemudian menyamakan kedudukan empat minit kemudian apabila tampanan penjaga gol Andre Onana berpunca daripada cubaan Fernando Llorente berjaya disambut oleh Lucas dan penyerang Brazil itu membuktikan ketajamannya apabila meledak gol kemenangan dramatik pada masa kecederaan bagi mengesahkan kemaraan Spurs.
AJax kendalian Erik ten Hag, yang sudah pun melakar beberapa kejutan termasuk menyingkirkan penyandang juara Real Madrid dan juara Itali, Juventus yang dikuatkan dengan Cristiano Ronaldo musim ini tetap menerima tepukan gemuruh peminat mereka selepas perlawanan berakhir. - AFP

Tuesday, May 7, 2019

Epic Comeback Liverpool singkir Barcelona






LIVERPOOL: Liverpool melakar salah satu kebangkitan paling mengagumkan dalam sejarah Liga Juara-Juara apabila mengatasi defisit tiga gol dengan menewaskan Barcelona 4-0 di Anfield dan mara ke final buat dua musim berturut-turut menerusi agregat 4-3, awal pagi tadi.
Gol kemenangan Reds dijaringkan oleh penyerang Belgium Divock Origi dan pemain gantian Georginio Wijnaldum dengan masing-masing menyumbat dua gol.
Bukan saja berdepan tugasan menggunung untuk mara, tetapi Reds turut kehilangan dua senjata mereka di bahagian serangan pada aksi berkenaan iaitu Mohamed Salah dan Roberto Firmino susulan kecederaan.
Begitupun, Origi dan Wijnaldum membuktikan mereka layak dijulang sebagai wira ketika Barca mensia-siakan kelebihan tiga gol pada aksi pertama buat musim kedua berturut-turut selepas turut tersingkir kepada Roma di suku akhir, musim lalu.
“Sekali lagi kami menunjukkan yang tiada apa yang mustahil dalam bola sepak,” kata Wijnaldum. “Saya amat marah kepada pengurus kerana meletakkan saya di bangku simpanan tetapi saya perlu melakukan sesuatu untuk membantu pasukan apabila saya dimasukkan.
“Kami masih mempercayainya sejak daripada awal. Orang dari luar (kelab) berfikir ia mustahil tetapi kami masih berupaya melakukannya.”
Tanpa kelibat Salah dan Firmino, skuad kendalian Jurgen Klopp membuktikan mereka masih belum hilang kepercayaan dan dibantu dengan suasana menakjubkan di Anfield.
Ironinya, Origi mungkin tidak disenaraikan dalam kesebelasan utama jika Salah dan Firmino cergas.
Dan dia meneruskan tugasnya meledak gol penting buat Liverpool dalam usaha kelab itu apabila meledak jaringan pertamanya di Liga Juara-Juara seawal minit ketujuh selepas penjaga gol Barca, Marc-Andre ter Stegen gagal menangkap kemas cubaan kapten Jordan Henderson.

Selepas jaringan berkenaan, Barca mula mengorak langkah dan hampir berjaya memecah kebuntuan menerusi bintangnya, Lionel Messi berpunca sepakan percuma tetapi ia berjaya dihalang Alisson Becker sebelum penjaga gol Brazil itu menafikan cubaan rakan senegaranya Philippe Coutinho.
Liverpool mungkin berdepan satu lagi masalah kecederaan apabila Andy Robertson tidak dapat meneruskan aksi pada separuh masa pertama dan ia memberi ruang buat Wijnaldum.


Wijnaldum membuktikan impak yang dibawanya apabila meledak gol kedua tuan rumah pada minit ke-54 dan menambah jaringan kedua peribadi, dua minit kemudian sebelum Origi meledak gol kemenangan pada minit ke-79. - AFP

Polis tak setuju cermin gelap

PERATURAN baru mengenai penggunaan cermin gelap kenderaan persendirian akan menyukarkan tugas penguatkuasaan terutama polis.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata, pihaknya menghormati peraturan baru yang diumumkan Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook tetapi berpendapat bahawa tugas polis dalam penguatkuasaan akan menjadi sukar.
“Pihak polis sebelum ini tidak pernah dipanggil bagi membincangkan berhubung peraturan baru ini.
“Saya berasa terkilan, sebaik-baiknya mereka berbincang dan mungkin boleh ambil pandangan daripada kita,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Azisman berkata, selain itu faktor keselamatan pasukan keselamatan juga akan terjejas kerana tidak dapat melihat penumpang ketika pemeriksaan dijalankan.
“Sebelum ini, kita boleh nampak penumpang dan pemandu, namun dengan peraturan baru ini tiada had ketelusan cahaya dibenarkan.
“Agak sukar bagi polis untuk membuat pemeriksaan dan mengesan penumpang di bahagian belakang,” katanya.
Menurutnya, peraturan baru itu juga menyukarkan pasukan penguatkuasaan mengesan kesalahan-kesalahan kecil seperti menggunakan telefon pintar ketika memandu dan tidak memakai tali pinggang keledar.
“Memang beberapa peraturan ditetapkan seperti mengenakan fi dan perlu memenuhi syarat lain antaranya tidak mempunyai rekod jenayah dan sebagainya, namun ia seperti lesen kenderaan juga.
“Ada pengguna jalan raya yang tidak mempunyai lesen dan boleh menggunakan kenderaan itu,” katanya.
Terdahulu, Anthony mengumumkan tiada had ditetapkan bagi kadar ketelusan cahaya tampak untuk cermin kiri dan kanan penumpang serta belakang bagi semua kenderaan persendirian.
Sebelum ini, ketelusan cahaya tampak ditetapkan pada kadar 30 peratus seperti digariskan dalam Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991.