Friday, July 12, 2019

Hospital Sibu agensi kerajaan pertama sedia taska di tempat kerja




Yeoh (enam kiri) merakam kenangan bersama wakil empat agensi kerajaan di Sarawak yang menerima geran taska di tempat kerja.


SIBU: Hospital Sibu menjadi agensi kerajaan pertama menyediakan kemudahan taska di tempat kerja sektor awam yang dilancarkan, hari ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh berkata insiatif menubuhkan taska di bangunan kerajaan turut akan memberikan keutamaan kepada hospital di seluruh negara.
"Fokus kerajaan ialah menyediakan kemudahan taska kepada penjawat awam terutama jururawat yang bertugas mengikut sistem syif. 
"Mereka sangat memerlukan perkhidmatan taska bagi memastikan keselamatan anak masing-masing," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Cek Geran Taska di Tempat Kerja Sektor Awam di Dewan Rejang Hospital Sibu.
Yeoh berkata kementeriannya telah menerima 101 permohonan daripada 541 agensi kerajaan yang tidak mempunyai taska di tempat kerja untuk membuka taska di tempat kerja masing-masing.
"Kementerian telah menyemak semua pemohonan dan meluluskan geran untuk taska di tempat kerja kepada 66 agensi kerajaan termasuk 19 buah hospital kerajaan.
"Penyediaan taska ini membabitkan peruntukan RM10 juta seperti diumumkan kerajaan persekutuan pada pembentangan Belanjawan 2019," ujarnya.
Di Sarawak, Yeoh berkata taska di tempat kerja disediakan di empat agensi kerajaan iaitu Hospital Sibu, Jabatan Penjara Limbang, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Samarahan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak di Kuching.
Taska di Hospital Sibu yang beroperasi dari jam 6 pagi hingga 9 malam kini mempunyai seramai 15 kanak-kanak berusia empat tahun ke bawah.
Pada majlis tersebut, Yeoh menyampaikan cek geran RM80,000 untuk taska di Hospital Sibu, RM140,000 Jabatan Penjara Limbang, RM100,000 UiTM Kampus Samarahan dan RM195,000 JKM Sarawak.
Hadir sama ialah Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling, Ahli Parlimen Lanang Alice Lau, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Irene Chang, ADUN Pelawan David Wong, Pengarah Hospital Sibu Dr Ngian Hie Ung dan Pegawai Kesihatan Bahagian Sibu Dr Teh Jo Hun.

Sumber: Utusan Borneo

No comments:

Post a Comment