Monday, July 15, 2019

Matahari tepat di atas Kaabah, esok


UMAT Islam di negara ini boleh membuat semakan dan mengesahkan arah kiblat esok apabila kedudukan matahari berada tepat di atas Kaabah, ekoran fenomena unik yang berlaku dua kali setahun.
Planetarium Negara dalam satu kenyataan berkata, penentuan arah kiblat boleh dilakukan dengan memerhati bayang-bayang matahari dihasilkan objek tegak tepat pada jam 5.27 petang waktu Malaysia.
“Orang ramai hanya perlu mencari objek tegak seperti dinding bangunan, tiang elektrik dan rangka tingkap yang tegak atau menggantung objek berat dengan talinya yang menegak menghasilkan bayang-bayang menghala arah Kaabah.
“Fenomena ini berlaku sebanyak dua kali dalam setahun iaitu pada setiap 28 Mei dan 16 Julai dan bayang-bayang yang terhasil bergantung kepada keadaan cuaca semasa,” menurut kenyataan itu, hari ini.
Dalam pada itu, orang ramai juga boleh menyaksikan fenomena gerhana bulan separa dijangka berlaku pada Rabu, 17 Julai bermula jam 4.01 pagi dan berakhir jam 6.59 pagi waktu Malaysia.
“Gerhana kali ini akan mencapai peringkat maksimum pada jam 5.30 pagi yang mana pada waktu itu hampir separuh permukaan bulan dilindungi umbra (bayang-bayang) bumi,” katanya.
Justeru, Planetarium Negara akan dibuka kepada orang awam bermula jam 2 pagi pada Rabu dan menyediakan beberapa teleskop bagi memudahkan orang ramai menyaksikan fenomena ini.
Sesi pencerapan planet Zuhal dan Musytari akan turut diadakan di hadapan pintu masuk utama Planetarium Negara bermula seawal jam 2 pagi.

Isu bir tiada alkohol: Siti tembak, Mujahid tepis

“Saya tak boleh kawal apa Siti Kasim fikir.”
Begitu respons Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Mujahid Yusof terhadap kenyataan peguam itu yang menuduhnya membingungkan umat Islam di negara ini berhubung produk arak tanpa alkohol.
Katanya, kenyataannya semalam semata-mata bagi mengelakkan kekeliruan umat Islam di negara ini.
“Saya menteri agama, jadi sudah tentu orang akan tanya. Jadi jawapan saya begitulah - benda yang mengelirukan, ada alkohol ke tak ada alkohol ke, ada pula arak yang halal, sudah tentu ini akan menimbulkan kekeliruan.
“Apa dia nak fikir selepas daripada itu, itu masalah dia. Masalah saya ialah nak jaga orang Islam supaya jangan keliru, itu saja.
“Apa dia nak fikir, kata saya nak mengharamkan (sesuatu), itu apa yang dia fikir saya tak boleh kawal. Ikut dialah,” kata Mujahid.
Heineken 0.0
Beliau diminta mengulas kenyataan Siti yang menuduhnya cuba mengelirukan umat Islam tentang halal dan haram dalam isu tersebut.
Siti tengah hari ini membidas Mujahid yang menegur syarikat pengeluar minuman keras di negara ini tidak mengelirukan umat Islam.
Ada jual di Makkah, kata Siti
Menurut Siti, di Makkah sendiri, sejak tahun 80-an produk minuman tanpa alkohol telah dijual.
“Jadi, jangan cuba keluarkan peraturan-peraturan sedemikian rupa apa yang kita boleh minum dan tidak. Amat jelas, bahawa anda mengelirukan orang lain apa yang benar-benar haram dan tidak!
“Saya difahamkan, di Mekah pun, sejak 80-an mereka menjual bir tidak beralkohol…Jadi apa masalah awak? Tolong henti untuk beritahu kami bagaimana kami perlu menjalani kehidupan,” tulisnya di hantaran Facebook hari ini.
 Disoal pemberita di lobi parlimen, Mujahid hari ini bagaimanapun berkata pendiriannya dibuat dalam konteks Malaysia.
“Itu saya tak tahu. Saya punya isu ialah, di Malaysia, bukan Mekah ke, Madinah ke. Isu dia ni Malaysia orang Islam tertanya-tanya, saya jawablah saya kata tak boleh.
“Dan saya kata, kalau keliru, tinggallah. Buat apa nak pening? Itu saja saya cakap,” katanya lagi.
Sebelum ini tular promosi penjualan arak sifar alkohol Heineken 0.0.
Heineken menjelaskan produk itu tidak halal dan hanya disasarkan kepada golongan bukan Islam berumur 21 tahun dan ke atas.
Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat itu berkata, produk itu dijual di bahagian tidak halal di pasar raya dan kedai serbaneka.

    Saturday, July 13, 2019

    'From KL to the world': Wajah Yuna bercucuk sanggul sebesar-besarnya di Times Square, New York!


    KUALA LUMPUR: Penyanyi Malaysia yang melakar nama di peringkat antarabangsa, Yuna nyata mencipta sejarahnya yang tersendiri apabila sebuah papan iklan lampu diod pancaran cahaya (LED) muncul di tengah-tengah kota metropolitan Times Square, New York, Amerika Syarikat dengan memaparkan wajahnya selain mempromosi album terbaharunya, Rouge.

    Rouge yang merupakan album keempat penyanyi dengan nama sebenar Yunalis Zarai itu dilancarkan pada Jumaat.

    Entri Yuna di akaun Instagram miliknya menerima ribuan komen daripada barisan selebriti dan juga peminatnya dari dalam dan juga luar negara Uncle Sam itu atas siaran iklan yang dibawakan khas oleh platform penstriman muzik popular dunia, Spotify.

    Melalui kapsyen ringkas, Yuna menulis:

    “From KL to the WORLD!, IT’S ROUGE DAY EVERYWHERE AND IT’S DEFINITELY ROUGE DAY IN TIMES SQUARE NYC1 ROUGE OUT NOW! Also go take photos there and tag me! #yunarouge thanks @spotify

    Antara selebriti yang meninggalkan komen melalui muat naik status penyanyi berusia 33 tahun itu adalah penyanyi dari Indonesia, Datuk Rosa Roslaina Handiyani atau lebih dikenali sebagai Rossa, Afghan Syahreza, Anggun Cipta Sasmi atau Anggun.

    Tidak ketinggalan selebriti dari Malaysia antaranya, Wany Hasrita, Sharifah Amani, Sharifah Sofia, Shalma Ainaa dan Daiyan Trisha.

    Rata-ratanya meninggalkan komen tahniah atas kejayaan Yuna dengan pelancaran album Rouge yang disifatkan Yuna sebagai  vibe rekod lama seperti tahun 80-an dan 90-an.

    Rossa melalui akuan Instagram miliknya dengan nama itsrossa910  serta Afghan melalui afgansyah.rezamenitipkan komen so pround of you!! 

    Anggun pula menerusi akaunnya, anggun_cipta menyatakan Oh WOW!! Now that's impressive. Kudos dearest sebelum dibalas Yuna dengan thanks anggun!! love u.

    Sharifah Amani turut meninggalkan komen, MasyaAllah how beautiful. Congratulations manakala  pengacara, Shalmaa Aina pula dengan komen, OMG EPIC! so proud of you. Malaysia represent Yuna.

    Terdahulu, menurut Yuna, Rouge bermaksud merah dalam Bahasa Perancis yang menandakan cinta, semangat dan kekuatan.

    Astro Awani

    Dalang sebar video Haziq dikenal pasti

    POLIS sudah mengenal pasti dalang utama terbabit penyebaran video seks membabitkan
    Haziq Abdullah Abdul Aziz dan lelaki dikatakan mirip Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang tular, baru-baru ini.
    Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, dalang utama itu terbabit dalam satu pakatan atau konspirasi yang merancang rakaman berkenaan.
    Katanya, polis sudah mempunyai petunjuk mengenai siapa individu yang merancang rakaman berkenaan.
    “Dalang utama memang sudah dikenal pasti... polis ada bayangan (petunjuk) mengenai sesiapa individu yang bertanggungjawab.
    “Ada satu bentuk pakatan atau konspirasi untuk merakamnya," katanya kepada wakil media ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Perumahan Polis Blok Melati di Setiawangsa, Kuala Lumpur, malam tadi.
    Ditanya sama ada dalang yang sudah dikenal pasti itu membabitkan mana-mana individu dalam parti politik, beliau bagaimanapun enggan mengulasnya.
    Katanya, polis akan menjalankan siasatan sehingga individu bertanggungjawab dikenakan tindakan undang-undang.
    “Tidak kira sama ada dia ahli politik, badan bukan kerajaan (NGO) atau individu berkepentingan kita (polis) akan tetap ambil tindakan.
    "Tindakan polis adalah buta terhadap individu berkepentingan atau mempunyai jawatan tertentu kerana undang-undang tidak mengenal sesiapa sahaja," katanya.
    Abdul Hamid berkata, polis kini sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung kes itu berdasarkan arahan dikeluarkan pejabat Peguam Negara.
    "Sebelum ini, polis sudah menghantar kertas siasatan kes itu kepada pejabat Peguam Negara sebanyak dua kali, namun ia dipulangkan semula.
    "Jadi, menerusi perbincangan diadakan, polis akan mengambil beberapa tindakan sebagaimana arahan pejabat Peguam Negara bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan semula," katanya
    Beliau berkata, kali terakhir kertas siasatan dihantar ke pejabat Peguam Negara pada Khamis lalu dan siasatan kes seperti itu sememangnya akan mengambil masa.
    Katanya, sebelum ini juga, polis sudah menahan beberapa individu yang dikenal pasti terbabit dalam penyebaran video berkenaan dan mereka sudah dibebaskan selepas keterangan mereka dirakamkan.
    “Sebaik siasatan untuk mengaitkan dalang berkenaan selesai, kita akan terus melakukan tindakan menahannya semua yang terbabit.
    “Malah, mereka yang terbabit dalam menyebarkan video lucah hubungan sejenis itu juga akan diambil tindakan,” katanya.

    Friday, July 12, 2019

    SPRM buru 'ikan jerung' di Sarawak

    Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini sedang menyiasat individu-individu berprofil tinggi di Sarawak, kata ketua pesuruhjayanya Latheefa Koya.
    Menurut laporan Borneo Post semalam, Latheefa bagaimanapun tidak mendedahkan sebarang maklumat kerana ia berisiko menjejaskan siasatan.
    Beliau dilaporkan berkata demikian ketika berkunjung ke Insitut Pendidikan Guru di Kuching.
    Minggu lalu, Pengarah SPRM Sarawak Razim Mohd Noor berkata badan itu kini sedang menyiasat beberapa individu berprofil tinggi di negeri itu.
    "Siasatan terhadap dakwaan amalan rasuah oleh 'ikan jerung' di negeri ini dikendali ibu pejabat SPRM dan saya tiada akses berkenaannya," katanya seperti dipetik Borneo Post 3 Julai lalu.
    Pada 2015, SPRM melancarkan "Ops Gergaji, dan membekukan sejumlah akaun milik syarikat pembalakan.
    Antara yang disiasat ialah bekas menteri muda Daud Abdul Rahman. Beliau meninggal dunia dua tahun kemudian.
    Sejak itu, tiada pihak yang didakwa.




    Hospital Sibu agensi kerajaan pertama sedia taska di tempat kerja




    Yeoh (enam kiri) merakam kenangan bersama wakil empat agensi kerajaan di Sarawak yang menerima geran taska di tempat kerja.


    SIBU: Hospital Sibu menjadi agensi kerajaan pertama menyediakan kemudahan taska di tempat kerja sektor awam yang dilancarkan, hari ini.
    Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh berkata insiatif menubuhkan taska di bangunan kerajaan turut akan memberikan keutamaan kepada hospital di seluruh negara.
    "Fokus kerajaan ialah menyediakan kemudahan taska kepada penjawat awam terutama jururawat yang bertugas mengikut sistem syif. 
    "Mereka sangat memerlukan perkhidmatan taska bagi memastikan keselamatan anak masing-masing," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Cek Geran Taska di Tempat Kerja Sektor Awam di Dewan Rejang Hospital Sibu.
    Yeoh berkata kementeriannya telah menerima 101 permohonan daripada 541 agensi kerajaan yang tidak mempunyai taska di tempat kerja untuk membuka taska di tempat kerja masing-masing.
    "Kementerian telah menyemak semua pemohonan dan meluluskan geran untuk taska di tempat kerja kepada 66 agensi kerajaan termasuk 19 buah hospital kerajaan.
    "Penyediaan taska ini membabitkan peruntukan RM10 juta seperti diumumkan kerajaan persekutuan pada pembentangan Belanjawan 2019," ujarnya.
    Di Sarawak, Yeoh berkata taska di tempat kerja disediakan di empat agensi kerajaan iaitu Hospital Sibu, Jabatan Penjara Limbang, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Samarahan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak di Kuching.
    Taska di Hospital Sibu yang beroperasi dari jam 6 pagi hingga 9 malam kini mempunyai seramai 15 kanak-kanak berusia empat tahun ke bawah.
    Pada majlis tersebut, Yeoh menyampaikan cek geran RM80,000 untuk taska di Hospital Sibu, RM140,000 Jabatan Penjara Limbang, RM100,000 UiTM Kampus Samarahan dan RM195,000 JKM Sarawak.
    Hadir sama ialah Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling, Ahli Parlimen Lanang Alice Lau, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Irene Chang, ADUN Pelawan David Wong, Pengarah Hospital Sibu Dr Ngian Hie Ung dan Pegawai Kesihatan Bahagian Sibu Dr Teh Jo Hun.

    Sumber: Utusan Borneo

    Thursday, July 11, 2019

    Pengguna Grab Kena Bayar Lebih & Tunggu Lebih Lama Mulai Esok?

    Pelaksanaan peraturan Program Khas Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam(PSV) dikatakan akan menyebabkan berlakunya kekurangan pemandu e-hailing terutama yang menawarkan perkhidmatan secara sambilan seterusnya pengguna e-hailing bakal berdepan masalah kenaikan tambang dan tempoh menunggu lebih lama bermula esok.
    mustsharenews.com
    Melalui laman web Grab, mereka memberi peringatan kepada pengguna untuk bersiap sedia dengan situasi itu dengan meminta mereka merancang perjalanan dan pilihan pengangkutan dengan baik.
    Melalui peraturan baru itu, para pemandu Grab akan berdepan proses ketat untuk memenuhi syarat ditetapkan.
    “Antara prosedur itu termasuklah semakan latar belakang, enam jam latihan memandu, ujian pemanduan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pemeriksaan kereta oleh Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer dan pemeriksaan kesihatan,” tulisnya.
    Selain itu, Grab juga memberi panduan kepada pengguna yang bakal berdepan dengan kesan peraturan berkenaan.
    “Potensi kekurangan pemandu di jalan raya akan berlaku dan kami jangka ia memberi kesan kepada pengguna. Justeru kami cadangkan untuk anda merancang perjalanan dengan menempah lebih awal dari biasa dan tempahan bukan pada waktu puncak,” jelasnya.
    mstar.com.my
    “Tempah awal dan bersedia dengan kehadiran pemandu terutamanya apabila anda ada penerbangan atau urusan penting untuk diselesaikan. Waktu puncak ialah dari 7 hingga 9 pagi dan 5 petang hingga 8 malam,” ujarnya.
    Malah, Grab turut menyatakan pengguna bakal berdepan dengan kenaikan tambang secara dinamik khususnya ketika waktu puncak dan hujan.
    “Kami peka dan memahami kesukaran pengguna apabila berdepan dengan tambang tinggi tetapi hal itu berlaku disebabkan kekurangan pemandu di jalan raya,” sambungnya.
    Sumber: Harian Metro

    Dr Jerip Susil Umum Keluar PSB



    Timbalan Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) Dr Jerip Susil mengumumkan keluar parti berkuatkuasa serta merta. – Gambar Facebook, 11 Julai, 2019.


    TIMBALAN Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) Dr Jerip Susil mengumumkan keluar parti berkuatkuasa serta merta.

    Jerip yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mambong tidak menyebut akan menyertai mana-mana parti tetapi beliau telah berikrar akan setia kepada Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg.


    Tuesday, July 9, 2019

    Najib dilantik Pengerusi Lembaga Penasihat BN, tugas kembalikan sokongan rakyat


                                                                                              

    Najib dilihat memasuki PWTC bagi menghadiri Mesyuarat Dewan Tertinggi BN malam ini.   





    KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) malam ini.

    Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam satu kenyataan media sebentar tadi.

    “Najib akan menjalankan tugas membantu BN dalam usaha untuk mengembalikan semula sokongan rakyat kepada parti ini," katanya.

    Jelasnya, keputusan itu dibuat selepas Mesyuarat Majlis Dewan Tertinggi BN sebulat suara bersetuju akan perlantikan itu.

    Terdahulu, Najib dilihat memasuki bangunan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bagi menghadiri mesyuarat tersebut di ibu pejabat parti, Menara Dato' Onn.

    Turut kelihatan, Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong dan Presiden MIC Tan Seri S A Vigneswaran serta beberapa pimpinan Majlis Tertinggi UMNO.

    ADUN Sungai Rambai berdepan 34 tuduhan rasuah

    MELAKA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Datuk Hasan Abd Rahman dan bekas keraninya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas 34 pertuduhan penyelewengan dana Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bernilai RM318,400 dua tahun lalu.
    Hasan, 57, dan Khuzaimah Abdullah, 34, masing-masing yang dihadapkan 34 pertuduhan secara berasingan membuat pengakuan tidak bersalah atas semua tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.
    Berdasarkan tuduhan pertama hingga ke-34, Hasan didakwa melakukan jenayah pecah amanah dana NBOS 2016 dengan menandatangani 34 cek untuk projek ternakan rusa, tanaman pisang dan sayur-sayuran gantian cili dan jagung yang tidak diterima penerima projek berkenaan.
    Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Sungai Rambai, Kompleks Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Sungai Rambai, Jasin antara 20 Februari 2017 hingga 17 Januari 2018.
    Sementara itu Khuzaimah yang juga bekas kerani JAPERUN turut berdepan 34 pertuduhan atas dakwaan sama bersubahat dengan wakil rakyat berkenaan untuk melakukan pecah amanah membabitkan nilai dan tempoh masa sama.
    Bagi semua tuduhan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan dengan Khuzaimah dibaca bersama Seksyen 109 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda.
    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Gam Peng Kun, menawarkan ikat jamin RM50,000 bagi semua tuduhan dengan seorang penjamin dan pasport perjalanan tertuduh diserahkan kepada mahkamah.
    Peguam Hamidi Mohd Noh dan Mohd Haziq Zali yang mewakili Hassan manakala Khuzaimah diwakili peguam Ahmad Faiq Azizan dan Muhammad Nor Izzat Nordin tidak membantah berhubung jaminan itu.
    Mohd Nasir kemudian pada penghakimannya membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan pasport diserahkan kepada mahkamah.
    Beliau menetapkan 20 Ogos depan bagi sebutan semula kes dan serahan dokumen.
    ADUN Sungai Rambai, Datuk Hasan Abd Rahman (kiri) dan bekas keraninya, Khuzaimah Abdullah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Melaka atas 34 pertuduhan penyelewengan dana Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bernilai RM318,400 dua tahun lalu. - NSTP/Rasul Azli Samad

    Exco Kerajaan Negeri Perak Di Tuduh Rogol Pembantu Rumah


    POLIS hari ini mengesahkan seorang Exco Kerajaan Negeri Perak sedang disiasat kerana disyaki merogol pembantu rumahnya warga Indonesia.
    Difahamkan mangsa tampil membuat laporan polis semalam selepas dipercayai dirogol di kediaman lelaki itu di Meru, Ipoh.
    Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman, Asisten Komisioner Choo Lily mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
    “Ya… kita sudah menerima laporan polis yang dibuat mangsa semalam dan siasatan kini sedang dijalankan.
    “Buat masa ini belum ada tangkapan namun suspek akan ditahan dalam masa terdekat bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
    Menurutnya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

    Wednesday, July 3, 2019

    Facebook, Instagram & WhatsApp alami gangguan teknikal

    Pengguna Facebook, Instagram dan WhatsApp pada waktu ini mengalami masalah gangguan teknikal semenjak sejam yang lalu. 

    Rata-rata penggunanya merungut tidak dapat memuat naik gambar, video mahupun status di dua laman sosial tersebut, malah ada yang tidak dapat menyemak kemaskini terbaru di garis masa akaun media sosial mereka. 

    Semakan di laman Down Detector mendapati, Instagram mendapat 1,481 laporan, manakala Facebook 483 laporan dan WhatsApp 254 laporan yang meningkat dari semasa ke semasa.

    Difahamkan, masalah gangguan teknikal ini berlaku di seluruh dunia dan sehingga kini masih belum ada sebarang kenyataan dari pengendali tiga laman sosial berkenaan.